Perbuatan
membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah perbuatan diharamkan
Islam. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan
janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan
dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (QS al-An’am: 151).
Islam
amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk
ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam. Apatah lagi jika insan yang
menjadi mangsa bunuh diperlakukan sedemikian tatkala sedang menjalankan tugas
untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Pada dasarnya tidak ada satu pun agama di
dunia ini yang menghalalkan pembunuhan, sebab tujuan agama adalah untuk
perdamaian, menyebarkan kasih sayang, dan mengatur tatanan sosial agar lebih
baik.
Namun,
ada kalanya manusia mudah hilang pertimbangan hingga melakukan sesuatu di luar
batas norma kehidupan. Apabila nafsu dan amarah sudah merajai diri hingga tidak
boleh berfikir secara waras, maka banyak kes-kes pembunuhan yang terjadi.
Akibatnya, nyawa tidak berdosa harus menjadi taruhan. Firman Allah SWT:
“Barangsiapa
yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain,
atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah
membunuh manusia seluruhnya.” (QS al-Maidah: 32)
Nampak
kan betapa besarnya dosa membunuh? Ini kerana Allah telah menyatakan bahawa
membunuh satu nyawa manusia impaknya seakan membunuh kesemua nyawa manusia di
muka bumi. Ini kerana setiap nyawa yang dibunuh itu pasti mempunyai keluarga,
keturunan dan ia merupakan anggota dari masyarakat dan secara tidak langsung
akan menyakiti keluarga dan masyarakat di sekelilingnya.
Oleh
itu, tiada jalan lain bagi si pelaku pembunuhan itu melainkan bertaubat dengan
bersungguh-sungguh. Jika dosa syirik tidak mendapat keampunan daripada Allah
SWT, dosa membunuh pula tidak akan terampun melainkan dengan taubat. Kerana,
dalam Islam dosa membunuh adalah salah satu daripada dosa besar yang ditetapkan
Allah SWT.
Ini
sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Jauhilah
diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya: “Apakah
dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar,
memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan
menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (HR Muslim)
Sumber:
Harian Metro “Hukuman qisas” (18 Februari 2019)
Comments
Post a Comment