JADILAH INSAN YANG SENTIASA MENDAMAIKAN PERSELISIHAN DAN BUKANNYA INSAN YANG MEMULAKAN PERSENGKETAAN
Manusia
sejak mula diciptakan sehinggalah hari ini sentiasa berada dalam percanggahan
dan perpecahan sama ada dalam konteks keluarga, politik, kenegaraan ataupun
masyarakat seluruhnya. Walaupun adat resam, pakaian dan budaya mempunyai
persamaan, hakikatnya pertikaian tidak pernah lekang daripada kehidupan mereka.
Sabda
Rasulullah SAW:
“Mahukah
jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa,
solat dan sedekah?” para sahabat berkata, “Tentu ya Rasulullah.” Baginda
bersabda: “Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang
berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan).” (HR
Sunan Abu Daud: 4273)
Hakikatnya,
tiada seorang pun daripada manusia merasa senang dengan perpecahan apatah lagi
apabila ia berlaku dalam sesebuah keluarga di mana kesannya akan ditanggung
oleh anak. Begitu juga dalam konteks negara dan golongan atasan yang
mengakibatkan tekanan kepada rakyat jelata.
Oleh
itu, menjadi salah seorang daripada golongan yang mendamaikan dua orang yang
berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama dan dituntut
dalam Islam berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah. Usaha
ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah
SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua
hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh
kedua-dua pihak.
Mereka
yang banyak berusaha ke arah ini telah menambahkan aset sedekah pada catatan
amalannya pada hari kiamat. Malah ia juga dianggap projek besar yang disediakan
Allah SWT kepada hamba-Nya. Nampaknya kita sering terlepas pandang projek besar
yang ditawarkan ini, malah kita pula menjadi api untuk menambahkan permusuhan
itu. Amat malang bagi kita jika kita sia-siakan projek ini dan menjadi batu api
kepada merebaknya permusuhan antara manusia.
Keperluan
terhadap penghapusan dosa pada hari ini amat meruncing dalam kehidupan kita.
Maka, suatu usaha bagi menghapuskan dosa amat bermakna lantaran banyaknya
dugaan akhir zaman sehingga setiap hari kita sentiasa dikunjungi dosa. Maka
dengan cara menyatukan manusia akan dapat meringankan beban dosa yang sedia ada
pada diri kita dan dapat mengukuhkan lagi jambatan perpaduan sesama insan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Barang
siapa yang khuatir akan ketidakadilan terhadap wasiat, lalu ia mendamaikan
manusia, maka keampunan adalah miliknya." (QS al-Baqarah: 182)
Sumber:
Website Universiti Teknologi Malaysia (people@utm) dan Berita Harian “Mendamaikan dua pihak bertelagah tutup pintu
fitnah” (9 Jun 2015)
Comments
Post a Comment