PEMIKIRAN LIBERAL YANG MENGUTAMAKAN HAK KEBEBASAN BERPOLITIK, BERSOSIAL DAN KEBEBASAN DIRI DARI SEBARANG IKATAN MEMBUATKAN SESEORANG LEBIH JAUH DARI ISLAM
Aliran
pemikiran liberal adalah satu bentuk aliran pemikiran yang berjuang untuk
mengamalkan hak kebebasan bersuara dan hak kebebasan beragama. Pemikiran ini
dilihat memberi ancaman kepada keharmonian beragama kerana pentafsiran yang
dibuat dalam hal berkaitan agama bergantung kepada perspektif rasional akal dan
kontekstual semata-mata.
Dari
sudut politik, liberalisme mempromosi pemikiran yang berpusat pada kebebasan
individu yang dianggap memiliki hak dalam pemerintahan seperti hak untuk
bersuara, hak yang perlu dihormati, hak
berekspresi serta boleh bertindak bebas dari ikatan-ikatan agama dan ideologi.
Dalam
konteks sosial, liberalisme diertikan sebagai suatu etika sosial yang membela
kebebasan (liberty) dan persamaan (equality) secara umum.
Liberalisme
juga jika durujuk kepada individu, ia bermaksud setiap individu mempunyai
kebebasan mutlak sebagai pencipta dan penentu tindakan. Dengan maksud lain,
kejayaan dan kegagalan seseorang itu ditentukan oleh tindakan dan pilihannya
sendiri. Diri sendiri bebas memilih tindakan yang sesuai atas pertimbangan akal
semata-mata.
Liberalisme
daripada perspektif agama pula bermaksud pemikiran yang cuba membebaskan
seseorang Islam dari sebarang ikatan syarak berdasakan ketetapan Allah dan
RasulNya, sebaliknya dengan cara mentafsir, mengolah atau menafikan apa sahaja
dalil syarak agar bersesuaian dengan pemikiran yang berteraskan falsafah Barat.
Fahaman
liberal ini merupakan suatu usaha gigih ahli falsafah Barat untuk mengikis
status quo ajaran-ajaran agama dalam sistem politik dan sosial.
Sejarah
dalam revolusi Eropah telah memberi kesan yang besar khususnya pada pertembungan
aliran pemikiran dalam dunia Islam sehingga ke hari ini dan menjadi sebab
kepada kemuculan apa yang disebutkan sebagai pemikir pembaharuan dalam Islam
atau Islam Liberal.
Kesannya,
agama sering dipisahkan dalam setiap tindak tanduk atau rutin kehidupan harian yang dilakukan. Malah mereka
menganggap agama sebagai punca segala aktiviti mereka disekat dan tiada
kebebasan diri. Perkara ini perlu diberi
perhatian supaya mentaliti dan pemikiran sebegitu dalam kalangan umat Islam
perlu diperbetulkan. Umat Islam diseru supaya mencari guru agama yang betul
untuk memandu semula kehidupan mereka ke arah ajaran Islam yang sebenar dan
sentiasa berpegang kepada ajaran yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
Sumber: Jurnal Islamiyyat
41(2) 2019: 39-49
Comments
Post a Comment