Agama Islam
sering dipersenda oleh negara luar bukanlah satu hal yang baru, ia sudah
berlaku sejak berabad lamanya. Namun, protes penentangan terhadap si pelaku
kadang kala dilihat terlalu melampaui batas norma dalam agama Islam dan perkara
ini tidak bertahan lama. Apakah jalan terbaik bagi umat Islam untuk terus kekal
bersatu dan konsisten mempertahankan kesucian agama ini?
Dalam hal ini,
umat Islam dituntut agar sentiasa bersatu dalam mempertahankan agama Islam.
Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:
-
Sentiasa berpegang teguh dengan ajaran al-Quran
dan As-Sunnah serta saling ingat-mengingatkan sesama ummah tentang kewajipan
mempertahankan agama.
-
Memelihara maruah agama dengan cara
mempraktikkan akhlak dan adab seperti mana yang diajarkan dalam Islam agar umat
manusia lain khususnya yang bukan Islam dapat melihat sisi sebenar agama ini.
-
Sentiasa menyampaikan perkara yang benar
mengenai Islam namun tidak secara ghuluw. Ini kerana Islam agama yang damai dan
bertoleransi serta menghormati agama yang lain.
Oleh itu, umat
Islam wajib bersatu atas banyak perkara yang sama dan mengetepikan perbezaan
yang sedikit itu kerana umat Islam hanya akan terselamat dari bahaya melalui
penyatuan dengan bimbingan golongan ilmuan dan pemikir Islam yang memahami
tuntutan dan hakikat ini. Umat Islam juga wajib menyokong apa juga usaha untuk
menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik
kepada perpaduan ini. Janganlah sesekali terpancing emosi akibat provokasi
musuh kerana mereka memang sentiasa menginginkan perpecahan di kalangan ummah
dalam agama Islam ini.
Firman Allah
SWT:
“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara
hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda)
yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati
mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka.
Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al - Anfaal:
63)
Sumber: Berita
Harian “Bersatu kerana akidah jalan
menuju syurga” (4 Oktober 2019) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment