ISLAM BUKANLAH AGAMA YANG MELAHIRKAN PENGGANAS!!!! ISLAM SANGAT MENCINTAI KEAMANAN DAN BENCIKAN KEGANASAN

    Mutakhir ini, isu Islam yang dituduh sebagai agama yang menyebarkan keganasan semakin menjadi-jadi. Apa yang sebenarnya berlaku adalah perbuatan tersebut hanya didalangi oleh individu-individu yang terlampau taksub atau eksterim (ghuluw) terhadap agama hingga sanggup melakukan berbagai tindakan keganasan seperti membunuh dan lain-lain yang kononnya atas nama ‘jihad’. Sedangkan hal ini adalah perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan menjadi satu dosa besar yang akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

    Firman Allah SWT:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (QS An-Nisa’: 93)

    Sesungguhnya, Islam amat benci terhadap segala bentuk keganasan. Sebenarnya, tindakan keganasan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan pengganas tersebut adalah berpunca daripada salah faham mereka dalam beragama kerana sering mendakwa bahawa mereka sahajalah yang mengamalkan ajaran     Islam yang sebenar dan berjuang atas nama jihad sebagai cara untuk menyucikan segala dosa mereka dan sebagai salah satu jalan mudah untuk ke syurga. Hakikatnya, fahaman ini sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam mendidik kita supaya sentiasa cintakan keamanan dan tidak menyakiti mereka yang tidak bersalah atau melakukan tindakan ganas semata-mata atas alasan untuk berjihad memerangi apa juga perkara yang mereka dakwa sebagai maksiat dan musuh yang mencemari kesucian Islam

    Oleh itu, satu penerangan perlu diperjelaskan mengenai Islam yang dikaitkan dengan siri keganasan. Umat Islam khususnya para ahli agama, ulama atau cendekiawan harus memainkan peranan bersama-sama umat Islam yang lain dalam menyebarkan sisi nilai-nilai positif Islam kepada dunia khususnya para Islamophobia. Ini penting dalam memastikan mereka benar-benar faham bahawa keganasan bukan dianjurkan oleh Islam, tetapi sebaliknya ia telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan perjuangan Islam.

    Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.”


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments