JAUHI SIFAT BURUK SANGKA KERANA IA DIBENCI ALLAH DAN MEMECAHBELAHKAN PERSAUDARAAN


Tujuan kita hidup di dunia ini tidak lain hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata. Namun, apa yang pasti kita sebagai hambaNya tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Salah satu punca penyakit hati yang sering melanda umat Islam pada hari ini adalah sikap berburuk sangka sesama sendiri. Sifat buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan ummah, malah lebih parah lagi ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Firman Allah SWT:

 "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (QS al-Hujurat: 12)

Ada dua cara untuk kita tidak terjerumus ke dalam sifat tidak sihat ini. Antaranya, sentiasa berfikiran positif. Ini amat penting dalam mendidik diri kita agar sentiasa menjadi seorang yang bersangka baik terhadap situasi di sekeliling kita selain mendidik jiwa kita agar taat akan kekuasaan Allah SWT dan tiada yang upaya lebih daripada kuasaNya. Selain itu, sentiasa fokus atas perasaan kita. Ia di mana kita harus sentiasa kekal positif sama ada fizikal atau spiritual. Pemikiran yang positif menghasilkan tingkah laku yang positif dan hal itu sangat perlu di dalam kalangan masyarakat negara ini.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam." (HR Imam al-Bukhari)

Buruk sangka adalah salah satu sifat mazmumah manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati. Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjauhkan diri dari sifat seperti itu kerana ia bukan sahaja akan memudaratkan diri dan masyarakat, malah ia sifat yang amat dibenci oleh Allah SWT. Sekiranya kita sudah terlanjur berburuk sangka, maka wajiblah bagi kita untuk segera bertaubat dan memohon keampunan.

Sumber: Berita Harian “Wajib taubat jika buruk sangka” (13 Jun 2017) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Comments