PERJUANGAN MENEGAKKAN KHALIFAH ADALAH WAJIB DAN MENDAPAT GANAJRAN SYAHID MERUPAKAN PEMAHAMAN SESAT SERTA EKSTREM HIZBUT TAHRIR YANG PERLU DITOLAK
Ketahuilah bahawa fahaman Hizbut Tahrir adalah ajaran yang boleh membawa kepada fahaman ekstrem dan radikal. Hizbut Tahrir mendakwa bahawa menegakkan Khalifah adalah wajib dan perlu diperjuangkan dengan apa cara sekalipun termasuklah jika terpaksa meminta bantuan daripada negara Barat (negara kafir) demi mencapai misinya.
Pemikiran tersebut merupakan satu bentuk kekeliruan dalam Islam yang amat jelas dan bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, kumpulan Hizbut Tahrir juga turut mendakwa, bahawa mereka yang mati dalam memperjuangkan Khalifah ini adalah dikira mati syahid manakala mereka yang mati sebelum tertegaknya Khalifah dan tidak ada niat untuk bersama dalam perjuangan tersebut dianggap sebagai mati dalam keadaan jahiliyah iaitu seperti mati para penyembah berhala. Pemikiran ini sebenarnya sangat bahaya kerana ia menyemai ideologi ekstremis kepada masyarakat dan menyamai apa yang dilakukan oleh kumpulan militan atau teroris lain seperti kumpulan Daesh, al-Qaeda, Jemaah Islamiyah dan sebagainya. Apa yang dikhuatiri, pemikiran sebegini akan menyemarakkan lagi fahaman keganasan yang dipromosi oleh kumpulan militan atau teroris sebelum ini, sedangkan pemahaman sebegini jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Kita tidak menolak tentang kewajipan umat Islam menegakkan Khalifah dan kepimpinan Islam tetapi Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak ganas di luar batas syariat dan bertindak meruntuhkan kerajaan Islam yang ada hanya kerana berbeza ideologi perjuangan.
Kini, pengikut-pengikut Hizbut Tahrir dilihat semakin rancak mengembangkan doktrin mereka melalui sosial media dan jika dibiarkan, ia mampu memberi implikasi yang buruk sama ada dari sudut akidah mahupun keselamatan dan keharmonian negara. Sebagai contoh dalam Facebook Abu Shayid Al-Maliki yang merupakan salah seorang pengikut tegar Hizbut Tahrir dengan megahnya berkongsi ideologi-ideologi Hizbut Tahrir untuk membangunkan sebuah Daulah Islamiyah yang berasaskan Khilafah Islamiyah. Beliau juga mengajak umat Islam di negara ini untuk menyokong perjuangan Hizbut Tahrir dalam menegakkan Khalifah Islam dan mengatakan bahawa sesiapa yang terkorban dalam perjuangan menegakkan Khalifah tersebut adalah mati syahid. Ini adalah pamahaman yang sangat bahaya yang menyamai pemahaman kumpulan teroris dan perlu dibenteras segera sebelum merebak ke tengah masyarakat.
Walaupun sebenarnya tidak salah bagi kita untuk memperjuangkan sesuatu perkara demi kepentingan Islam, namun cara Hizbut Tahrir untuk menjalankan misinya dengan menggunakan kekerasan atau mempromosi keganasan adalah sesuatu yang amat menyalahi perintah Allah dan ajaran Islam yang sebenar. Bak kata pepatah ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.
Dimanakah logiknya perjuangan Hizbut Tahrir ini tidak dapat dilihat. Namun apa yang pasti kewujudan dan juga hasutan ideologi-ideologi mereka telah berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam di negara ini dan sebahagian besar di negara lain termasuk mereka yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini.
Pada peringkat sekarang, memang tidak dinafikan bahawa pertubuhan ini tidak mengangkat senjata dan tidak nampak lagi mendatangkan bahaya yang nyata, namun percayalah sekiranya ia tidak disekat daripada awal, maka tidak mustahil Hizbut Tahrir mampu menjadi seperti kumpulan-kumpulan ekstremis dan radikal Islam yang lain dalam mencapai misinya untuk menegakkan Khalifah Islamiyah.
Sumber: Majalah Al-Kuliyyah, Jabatan Agama Islam Selangor; Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS dan Berita Tentera Darat, 16/03/2016.
Comments
Post a Comment