Hidup manusia di
dalam dunia ini tidak lain hanyalah untuk menghambakan diri kepada Allah SWT
dengan melakukan segala amal ibadah dan juga kebaikan demi untuk mendapatkan
ganjaran besar di sisiNya iaitu syurga. Islam memperjuangkan kebaikan dan
segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan
kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…berlumba-lumbalah
kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan
membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan),
sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah,
ayat 148)
Berbuat amal
kebaikan bukanlah hanya terletak pada pemberian sesuatu atau menghadiahkan
sesuatu, tetapi ia meliputi semua aspek dari segi akhlak, fikiran dan
kata-kata. Jika dari fikiran yang baik sudah dimulai, maka yang lainnya akan
turut ikut baik. Baik dari segi kata-kata mahupun akhlak. Ini kerana segala
perbuatan dan kata-kata seseorang akan ikut dan ‘patuh’ kepada pemikirannya.
Jika baik pemikirannya, maka baiklah perlakuan dan kata-katanya. Jika tidak,
mungkin akan jadi sebaliknya.
Sabda Rasulullah
SAW:
“Janganlah meremehkan kebaikan
walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum
kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (HR Abu Dawud)
Akan tetapi,
dalam usaha berlumba-lumba melakukan kebaikan, jangan pula ada yang menyekat
orang lain daripada melakukan kebaikan. Setiap Muslim mendapat peluang sama
banyak untuk melakukan kebaikan, seterusnya memperoleh ganjaran yang dijanjikan
oleh-Nya. Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak diri. Selain itu, apa
saja amal kebajikan yang dilakukan, perlu diniatkan hanya kerana Allah SWT dan
bukan kerana ganjaran daripada manusia.
Oleh itu,
pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain.
Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan
kebaikan terbentang luas di depan mata kita. Manfaatkanlah hidup kita dengan
sebaik-baiknya. Biarlah apa yang kita lakukan turut memberi manfaat kepada
orang lain. Hidup bukanlah tentang siapa yang terbaik, tetapi siapa yang
sentiasa berbuat baik.
Sumber: Harian Metro “Pujuk diri buat kebaikan” (24 Disember 2018)
Comments
Post a Comment