DIDIK GOLONGAN MUDA DENGAN ILMU AGAMA YANG BENAR AGAR TIDAK MUDAH TERPENGARUH DENGAN FAHAMAN EKSTREMISME
Sejak akhir-akhir ini, negara dilanda kebimbangan tentang penyusupan masuk fahaman-fahaman yang bersifat radikalisme dan ekstremisme yang semakin berleluasa. Perkara ini amat menakutkan apatah lagi dengan hadirnya kecanggihan teknologi yang semakin hari semakin maju menambahkan lagi kegusaran tentang terdedahnya fahaman-fahaman ekstremisme dan ajaran yang menyimpang daripada Islam kepada golongan muda di negara ini.
Mengekang penularan fahaman ekstremisme dan ajaran sesat ini amat wajar ditekankan kerana serangan fahaman tersebut kerap berlaku melalui media sosial yang majoriti penggunanya adalah datang daripada golongan muda. Jadi, semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menjalankan perkara tersebut agar dapat membendung generasi muda di negara ini daripada terpengaruh.
Bagaimana? Dengan cara menerapkan pelajaran agama Islam dengan lebih mendalam melalui kaedah yang lebih sistematik untuk menarik golongan muda mengikutinya. Terdapat banyak aktiviti agama yang boleh dilakukan oleh pihak-pihak berwajib dalam menyantuni golongan muda di negara ini supaya mereka mencintai agama Islam dan dalam masa yang sama memberi pendedahan tentang bahayanya pengaruh fahaman radikal dan eksterim. Ianya bukan hanya sekadar bergantung pada ceramah sahaja, tetapi boleh digunakan berbagai pendekatan yang interaktif dan lebih menarik untuk menarik minat golongan muda mengikutinya seperti tayangan visual, permainan uji minda, bengkel penerapan iman, kursus motivasi kerohanian dan sebagainya lagi. Bahkan, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYERS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan juga telah menyediakan satu e-book Garis Panduan Pencegahan Fahaman Esktremisme dan Radikalisme Dalam Kalangan Belia dan Masyarakat untuk dijadikan rujukan.
Oleh itu, semua pihak harus bertanggungjawab dalam mendidik golongan muda di negara ini agar mencintai ilmu Islam dan menyingkirkan fahaman ekstremisme. Mereka hendaklah mempelajari ilmu agama Islam terutamanya fardu ain dan meneguhkan akidahnya terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu fardu kifayah yang lain. Apabila akidahnya kuat dan teguh baharulah mereka mampu melaksanakan amalan-amalan lain dan mampu mengharungi cabaran yang amat dahsyat. Tambahan lagi cabaran kita di akhir zaman ini amat dahsyat sekali terutamanya berdepan dengan pengaruh hiburan yang melampaui batasan, pergaulan tanpa batasan, soal halal haram, pemikiran yang rosak dengan ideologi baru seperti liberal dan syiah, pendidikan yang jauh terpisah dari agama Islam dan sebagainya.
Firman Allah SWT:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (QS Al-Asr: 1-3)
Sumber: Mstar “Generasi baharu akan tersasar jika akidah tidak dijaga! 4 panduan ini dapat membantu” (28 Ogos 2019) dan “Garis Panduan Pencegahan Fahaman Radikalisme dan Ektremisme Dalam Kalangan Belia dam Masyarakat”, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
Comments
Post a Comment