JADILAH HAMBA-HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA DENGAN SALING BERBAIK SANGKA DAN MENJAUHI PRASANGKA BURUK SESAMA MUSLIM

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari: 5717)

Hadis di atas merupakan teguran jelas dan nyata daripada Rasulullah SAW kepada umatnya agar jangan sesekali bersangka buruk di antara satu sama lain, apatah lagi sesama Muslim kerana perbuatan itu sangat dibenci oleh Allah SWT. Dalam agama Islam telah diajarkan rasa kasih sayang antara sesama Muslim kerana kita semua adalah saudara seiman.

Namun, dalam kita selalu bersangka baik, ia juga harus diseimbangkan dengan teguran kerana di dalam Islam juga mengajar umatnya supaya tidak berdiam diri sekiranya kemungkaran berlaku di hadapan mata. Ia perlu dan wajib dicegah sama ada melalui nasihat atau teguran. Allah SWT dan Rasulullah SAW sangat melarang umatnya saling membenci dan berselisih kerana perkara itu memecah belah persatuan ukhuwah Islamiyyah secara terang-terangan.

Maka dengan itu, kita hendaklah sentiasa menanamkan sifat husnudzon atau berbaik sangka terhadap sesama Muslim, dimana kita harus memandang sesuatu perkara itu dengan positif, ramah dan tidak menghakimi orang lain. Dengan bersikap husnudzon, kita menuju kehidupan yang lebih mulia, kerana sekiranya kita menunujukkan akhlak yang baik terhadap orang lain dan menjauhi prasangka, ia dapat menghindarkan kita semua ke lembah yang berdosa.

Allah SWT berfirman:

“Dan berpeganglah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati-hatimu, dan dengan nikmat Allah-lah kamu menjadi orang-orang yang bersaudara.” (QS. Ali Imran: 103)

Ingat, syaitan tidak akan sesekali mengalah untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara umat Islam dengan berbagai cara, maka berhati-hatilah dan sentiasa mengingati Allah SWT. Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim. Menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)


 

Comments