JAUHILAH BURUK SANGKA DAN MENCARI AIB ORANG LAIN KERANA IA PERBUATAN TERCELA YANG MEMECAH BELAHKAN UMMAH
Dari
Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka
buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan,
janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta
saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR
Bukhari No: 5604)
Hadis
di atas jelas menerangkan tentang perintah Rasulullah SAW kepada kita sebagai
umat Baginda agar menjauhi sifat prasangka buruk sesama manusia. Ini
menunjukkan sifat mazmumah tersebut sangat merbahaya dan boleh memecahbelahkan
ummah Islam di negara ini. Buruk sangka
adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah. Manakala mencari-cari
kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati
manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari
kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan
seseorang itu.
Sesiapa
yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat
dan beristighfar kepada Allah SWT. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar
dan termasuk dalam perbuatan jahat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat
12 yang bermaksud:
“…sesungguhnya
sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat
setengahnya yang lain.”
Allah
SWT mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul
daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan
timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa
yang menambahkan prasangka sedia ada. Teknologi komunikasi yang tidak
bersempadan meluaskan penyebaran maklumat boleh meracuni akal manusia yang
tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba
beriman kepada Allah SWT, kita perlu menjaga pertuturan atau berdiam diri.
Oleh
itu, kita sebagai Muslim hendaklah menaruh prasangka buruk kepada orang lain
dan mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Apatah lagi isu atau kelemahan
itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti Facebook, Whatsapp,
telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang. Hal ini kerana ia
akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM)
Comments
Post a Comment