TOLAK FAHAMAN EKSTREMIS!!!! MEMBENDUNG FAHAMAN EKSTREMIS TANGGUNGJAWAB BERSAMA.



Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak sekali fahaman-fahaman ekstremis yang menyimpang dari ajaran sebenar Islam muncul dan mempengaruhi pemikiran masyarakat negara ini. Hal ini sangat membimbangkan terutama sekali terhadap golongan belia dan pertengahan yang mudah terpengaruh dengan fahaman sedemikian.

Sabda Rasulullah SAW:

“Awasilah kamu daripada melampau dalam beragama (ghuluw), karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.” (HR Ibnu Hibban: 3871)

Kita mesti menamatkan semua ini. Kekejaman ini memusnahkan nama baik Islam, menjustifikasikan tindakan kejam mereka dengan berselindung di bawah konsep jihad yang disalah guna. Kekejaman ini juga telah memusnahkan kehidupan ramai. Sebagai contoh kanak-kanak yang tidak inginkan apa-apa tetapi kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka dan menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain di tempat lain di dunia, golongan dewasa yang tidak mengharapkan apa-apa tetapi untuk mendapat rezeki untuk diri sendiri dan orang tersayang. Mereka ini telah dikelirukan oleh golongan militan sehingga terpengaruh dengan fahaman ektremis atas alasan berjihad.

Kita kena pastikan bahawa fahaman ekstrimisme tidak mempengaruhi kita dalam apa cara sekalipun. Terutama sekali golongan belia dan golongan pertengahan. Pihak-pihak berwajib harus memainkan peranan selain peranan ibu bapa yang boleh disumbangkan bagi menyekat fahaman seperti ini. Bagaimana? Dengan mengadakan lebih banyak lagi pengisian serta program-program seperti ‘street dakwah’ atau aktiviti-aktiviti di masjid bagi memberi banyak pendedahan kepada golongan-golongan sasaran supaya berhati-hati apabila menerima suatu risalah yang melibatkan pengajian agama.

Selain itu, perpaduan kaum adalah elemen penting untuk membasmi gejala ekstremis di negara ini. Ekstremis berkembang akibat daripada tanggapan negatif terhadap kaum serta agama yang berbeza. Rakyat mempunyai kekuatan untuk menafikan tanggapan ini. Fenomena kemajmukan antara kaum di negara ini perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk mencorak masa hadapan peradaban manusia. Agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk mengkaji dan menelaah secara mendalam segala bentuk pendapat, ijtihad dan pandangan seseorang yang berkhilaf dengan pendapat kita. Perkara sebegini dapat mengelakkan kita daripada sifat taksub dan memegang sesuatu kepercayaan berlandaskan nas dan dalil yang betul. 

Firman Allah SWT:

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (QS al-Zumar: 18)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments