BAHAYA HIZBUT TAHRIR!!! STRATEGI PERJUANGANNYA BOLEH MEMPENGARUHI SESEORANG UNTUK TERLIBAT DENGAN TERORISME
Kerajaan Malaysia telah mewartakan
Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Keselamatan
Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) bagi menangani isu-isu keganasan di negara
ini. Sementara itu, Majlis fatwa di
beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa tentang pengharaman Hizbut Tahrir di
negara ini dan menjelaskan bahawa
pertubuhan Hizbut Tahrir adalah pertubuhan yang haram dan sesiapa yang terlibat
dengan pertubuhan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah salah
disisi undang-undang negara dan juga di sisi agama Islam.
Hal ini telah menunjukkan bahawa
pihak keselamatan negara telah mengambil langkah awal dalam menyekat aktiviti
dan pergerakan keganasan di negara ini termasuklah pertubuhan Hizbut Tahrir
ini. Hizbut Tahrir meskipun mendakwa pertubuhan mereka bukanlah pertubuhan
pengganas, namun dari segi strategi dan ideologinya adalah sangat bahaya kepada
keselamatan negara ini. Manakan tidak, jika kita melihat kepada tiga fasa
perjuangan yang dirangka oleh Hizbut Tahrir bagi mencapai hasrat dan objektif
mereka iaitu mendirikan Khilafah Islamiyah, ternyata kecenderungan memberi
ancaman keselamatan kepada negara itu adalah tinggi.
Fasa I adalah proses penyebaran
ideologi Hizbut Tahrir untuk membenci kerajaan dan sistem yang ada yang
dianggap tidak Islam. Mereka akan cuba mempengaruhi orang ramai yang melibatkan
proses mengenal pasti individu dan golongan terutamanya yang berpengaruh dan
mempunyai kuasa untuk diindoktrinasikan,
Fasa II pula mendekatkan diri dan
bermesra dengan orang ramai melalui aktiviti serta program yang dirancang
dengan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan dan tahap sokongan daripada
individu dan golongan yang telah dikenalpasti. Sementara dalam Fasa III dengan
jelas menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir bergerak untuk mengambil alih kuasa atau
pemerintahan dengan mendirikan sebuah sistem Khilafah.
Walaupun sudah jelas strategi yang
dirancang untuk menegakkan Khilafah Islamiyah melalui fasa-fasa tersebut, namun
Hizbut Tahrir sebenarnya tidak menunjukkan dengan jelas bagaimanakah kaedah
atau manhaj mereka untuk mendapatkan kuasa. Sebenarnya, tujuan perjuangan
Hizbut Tahrir adalah untuk merampas kuasa pemerintahan negara ini yang didakwa
tidak menjalankan pemerintahan Islam mengikut fahaman mereka
Namun, perjuangan Hizbut Tahrir
adalah satu perjuangan yang utopia (bayang-bayang) kerana mereka tidak
mempunyai gagasan politik yang jelas bagaimana sebuah Khilafah Islamiyah itu
akan tertegak. Kaedah dakwah yang mereka sarankan juga adalah kabur malah dalam
banyak hal, bercanggah dengan akidah Islam.
Apa yang lebih menakutkan adalah jika ada segelintir pengikut mereka
yang tidak sabar dengan manhaj Hizbut Tahrir sekarang, dikhuatiri akan begitu
mudah dipengaruhi oleh unsur militan.
Akhirnya mereka akan melibatkan diri dengan aktiviti radikalisme demi
untuk mendapatkan kuasa ataupun menyertai kumpulan Daesh yang dilihat sedang
memperjuangkan sebuah Khilafah Islamiyah melalui kaedah jihad.
Oleh itu, pertubuhan Hizbut Tahrir ini wajib disekat daripada merebak di negara Malaysia ini khususnya kerana pemikiran ekstrem yang dipegang Hizbut Tahrir tentang konsep Khalifah boleh membawa implikasi buruk kepada keharmonian akidah dan keselamatan negara.
Sumber: Terrorism Observer, 12
November 2020.
Comments
Post a Comment