BERUSAHALAH MENJADI INSAN YANG SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN KERANA BERBUAT BAIK AKAN DISUKAI DAN DIKASIHI ALLAH
Kehidupan manusia tidak sama dari
sudut kedudukan dalam masyarakat. Itulah lumrah kehidupan dunia yang mewujudkan
perbezaan antara seorang insan dengan insan lain. Harta, pangkat, jawatan,
keturunan antara perkara yang dijadikan asas dalam membezakan kedudukan
manusia. Hakikatnya, manusia yang istimewa di sisi Allah SWT adalah mereka yang
memiliki takwa.
Oleh itu, Islam memerintahkan
umatnya supaya sentiasa berbuat kebaikan. Berbuat baik tidak dibataskan hanya
untuk umat Islam sahaja, malah ianya termasuk semua tanpa mengira kaum, budaya
dan agama termasuk makhluk seisi alam ini. Orang yang berbuat baik akan disukai
dan dikasihi Allah SWT, malah akan diberi ganjaran pahala yang besar di akhirat
kelak.
Firman Allah SWT:
"....(dan ingatlah), Allah
mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (QS
Ali-Imran: 134).
Di antara nikmat kehidupan yang
dikurniakan oleh Allah SWT adalah usia, waktu dan kesempatan hidup. Islam
mengajarkan waktu itu adalah kehidupan dan barangsiapa yang menyia-nyiakan
waktu sama juga dianggap seperti menyia-nyiakan kehidupan. Rasulullah SAW
sendiri pernah ditanya oleh seorang sahabat dalam hadis riwayat at –Tirmidzi:
''Siapa manusia terbaik?''
Baginda menjawab, ''Orang yang panjang usianya dan baik amalannya.'' Baginda
ditanya kembali, ''Lalu siapa manusia terburuk?'' Jawab Rasulullah SAW, ''Orang
yang panjang usianya tetapi jelek amalnya.''
Justeru, nilai kembali diri kita,
di mana kedudukan kita yang sebenarnya. Jangan sampai menjadi tujuh golongan
manusia yang terburuk menurut al-Quran dan hadis. Antara tujuh golongan
tersebut adalah:
- Orang
yang munafik.
- Orang
yang ditakuti kerana kejahatannya.
- Orang
yang tidak boleh disedarkan dengan kesucian ayat-ayat al-Quran.
- Orang
yang mendapati hari Kiamat dan menjadikan kuburan seperti masjid.
- Orang
yang mengambil hak milik orang lain demi kepentingan diri.
- Orang
yang panjang umurnya, tapi jelek amalannya.
- Orang
yang tidak boleh diharapkan kebaikannya dan tidak merasa aman dengan
kejahatannya.
Oleh itu, jadilah kita manusia
yang mempunyai akhlak yang baik kerana sifat itu sangat disayangi oleh Allah
SWT. Manfaatkan setiap masa yang ada dengan ibadat khusus seperti membaca
al-Quran, berzikir dan melakukan amal kebaikan agar kita boleh mendapat nikmat
ganjaran syurga daripada Allah di hari akirat kelak.
Sumber: Laman Web Republika.co.id
Comments
Post a Comment