SENTIASALAH BERSIKAP LEMAH-LEMBUT KERANA IA MEMBAWA KEBAIKAN DAN KASIH SAYANG

Ramai di antara kita menganggap bahawa sikap lemah lembut itu adalah satu sikap yang tidak patut ada di dalam diri manusia dengan alasan takut dipermain atau dipergunakan. Sebenarnya di dalam konteks Islam, sikap lemah lembut itu perlu ada dalam diri setiap Muslim cuma ia perlu diseimbangkan dengan ketegasan dan disiplin.

Lemah lembut itu satu sifat yang sangat terpuji dan umat Islam dituntut mempunyai sifat lemah lembut kerana ia membawa kebaikan. Amatlah rugi barangsiapa yang tidak mempunyai sifat lemah lembut itu kerana mereka yang dijauhkan dari sifat lemah lembut bererti ia dijauhkan dari kebaikan seperti sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang) bererti ia dijauhkan dari kebaikan" (HR Muslim).

Kemudian sifat lemah lembut (Al-Hilm) adalah sifat Allah dan umat Islam dituntut untuk berlemah lembut dalam semua perkara.

Daripada Aishah RA katanya sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah bersifat lemah-lembut dan berlemah-lembutlah dalam semua perkara.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kelembutan hati yang ada pada diri manusia itu bertujuan untuk memperindahkan akhlaknya. Lembut tidak bererti kita lemah. Lihat pada sifat air yang lembut, ia mampu memadamkan api. Maka, orang bersikap lemah lembut dan mampu mengendalikan diri daripada nafsu marah, melakukan kekasaran serta kezaliman terhadap orang lain adalah individu yang sangat hebat.

Oleh itu, jadilah orang yang memiliki sifat lemah lembut dan kasih sayang, nescaya pelbagai kebaikan akan dianugerahkan Illahi seperti anugerah nikmat iman dan islam, nikmat kesihatan, nikmat rezeki dan dijauhkan musibah serta lain-lain. Ingat orang yang bersikap keras akan dijauhkan segala kebaikan dari Allah SWT. Sebagaimana dalam firmanNya:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS Ali Imraan: 159)

 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan laman web UTM (people@utm)


 

Comments