BERWASPADA DENGAN BAHAYA FITNAH DI MEDIA SOSIAL


Mempunyai setiap platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain kini merupakan satu keperluan setiap masyarakat dunia dan bukan lagi satu kehendak. Ini kerana dengan adanya platform berkenaan, ia bukan sahaja menghubungkan kembali tali persaudaraan yang kian menjauh, malah ia turut membantu para peniaga atas talian untuk mempromosikan barang dagangan mereka dengan mudah.

Akan tetapi, dalam setiap kebaikan sesuatu perkara pasti akan terselitnya keburukannya. Di zaman teknologi serba canggih, ramai di kalangan manusia memilih untuk melakukan dosa dengan hanya di hujung jari. Fitnah, perkara yang sangat disukai oleh sesetengah pihak yang mempunyai jiwa-jiwa yang hitam demi untuk meraih populariti dan kepuasan diri. Mengapa dan kerana apa untuk dilakukan semua ini? Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya kamu menyesal." (QS al-Hujurat, ayat 6)

Seharusnya dalam perkara ini, apa yang perlu kita lakukan adalah menyelidiki kesahihan setiap berita yang diterima sama ada benar atau palsu. Kini, banyak aplikasi-aplikasi yang boleh mengubahsuai atau sering disebut sebagai editing untuk tujuan mengaibkan seseorang ataupun sekumpulan pihak. Selain itu, kita juga dituntut untuk memelihara maruah sesama orang Islam jika berlakunya fitnah ke atas mereka. Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi saudara seagama agar tidak terus dipermalukan.

Marilah bersama kita menjaga adab dalam berurusan di alam maya, berhati-hati dan jangan menyangka bahawa kita bebas di alam maya, sedangkan kita akan dipersoalkan atas setiap perlakuan di Padang Mahsyar kelak. Apapun, undang-undang dan peraturan, ia tidak akan mampu menyekat dan membendung salah laku.

Firman Allah SWT:

“Pada hari ini kami tutup mulut mereka; tangan mereka yang akan berkata kepada kami dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan” (QS Yassin: 65).

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Berita Harian “Kesan buruk sebar fitnah dalam media sosial” (23 Julai 2015)

Comments