Sebagai umat Islam yang taat akan suruhan Allah dan Rasul, hidup berpandukan al-Quran dan As-Sunnah dan berpaksikan kibatnya Kaabah, sudah pasti kita tahu akan larangan-larangan yang ditegah dalam agama. Namun sayang sekali, masih terdapat sebilangan besar umat Islam memilih jalan yang salah dan terjerumus ke dalam lembah yang penuh dosa dan noda.
Malah, masih terdapat segelintir umat Islam memilih untuk berbohong daripada berkata jujur, tidak menepati janji, tidak amanah dan bertanggungjawab, suka menyakiti orang lain dan suka akan perbuatan maksiat. Dari ‘Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda:
“Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian.” (HR Ahmad: 21695)
Hayati erti makna hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di atas, Rasulullah SAW sendiri memberi jaminan syurga buat umatnya yang sentiasa mengamalkan enam perkara ini. Pertama, jujur dalam berbicara. Kita hendaklah sentiasa berkata benar walaupun kadangkala kebenaran itu menyakitkan. Ini kerana menurut Ibnu Qayyim kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.
Kedua, menepati janji. Ini yang sering terjadi di dalam masyarakat kita apabila sudah berjanji tetapi tidak ditepati. Inilah salah satu sifat orang yang munafik.
Ketiga, menunaikan amanah. Ia adalah diantara karakter positif terbesar, yang Allah memuji para pelakunya. Ia adalah diantara bentuk kesempurnaan iman seseorang dan kebaikan Islamnya. Dengan karakter amanah, maka agama, kehormatan, harta, jasad, jiwa, ilmu dan yang lainnya akan terjaga. Yang keempat dan kelima adalah memelihara kemaluan dan menundukkan pandangan. Menjaga kemaluan (kecuali pasangan berkahwin) bererti menjaga keturunan dan nasab, mensucikan masyarakat dan menjaga keselamatan dari segala bahaya dan penyakit. Manakala menundukkan pandangan adalah satu faedah yang agung di mana Ia akan mewariskan pada seorang hamba kelazatan iman, cahaya hati, kekukuhan kalbu, kesucian jiwa dan kesolehannya. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (QS An-Nur: 30)
Yang terakhir adalah menahan tangannya daripada menyakiti orang lain. Keburukan tangan pada zaman ini lebih jelas lagi. Ia bukan kerana kejahatan tangan yang memukul tetapi kejahatan tangan yang menaip. Kerana tangan yang menaip itulah jatuhnya maruah seseorang, umat berpecah belah, runtuhnya sebuah kerajaan akibat fitnah yang tersebar dengan sepantas kilat. Semuanya angkara fitnah tangan.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memelihara enam perkara ini supaya kehidupan di dunia ini menjadi harmoni dan kita mendapat kebahagiaan di akhirat dengan di masukkan ke dalam syurga yang penuh dengan nikmat yang besarnya tidak dapat digambarkan sama sekali. Justeru, bagi orang yang beriman yang ingin mengejar syurga dan pahala yang Allah beri jaminan, maka ayuhlah kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan. Nescaya Allah akan mengurniakan ganjaran yang tidak terhingga buat diri kita.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/jaminan-syurga-5/
Comments
Post a Comment