MENGAMALKAN SIKAP TERPUJI (AKHLAK MAHMUDAH) DAN MENJAUHI PERBUATAN KEJI (AKHLAK MAZMUMAH) ADALAH TANDA AKHLAK YANG SEMPURNA



 Menjadi umat Islam yang hidup berteraskan panduan al-Quran dan As-Sunnah sudah semestinya meminta kita untuk sentiasa mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Sikap terpuji adalah salah satu sifat mahmudah yang perlu dan wajib dipraktikkan oleh seluruh umat Islam dalam meraih pahala yang berganda dan mendapat ganjaran syurga daripada Allah SWT pada hari akhirat.


Daripada Husain bin ‘Ali bin Abi Talib RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 


“Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang keji.” (HR Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir: 2894)


Lihat hadis berdasarkan nasihat Rasulullah SAW ini, ternyata Allah amat menyukai hambaNya yang berakhlak mulia dan membenci akhlak yang keji. Jadi di sini ingin diterangkan, sebagai Muslim kita dituntut untuk memiliki akhlak yang terpuji dan mulia. Allah amat mengasihi orang yang memiliki akhlak terpuji dan mulia seperti sifat rahmah dan kasih sayang, bertolong bantu, berlumba melakukan kebaikan dan lain lain. 


Sebagai umat Islam, kita wajib mengambil perkara ini sebagai satu perkara yang serius. Kita perlu mengubah diri kita untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Wajib bagi kita untuk menjauhi akhlak buruk dan keji seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba, bermusuh dan sebagainya. Ini kerana perkara itu tidak membawa kebaikan sama sekali dan menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan. Bayangkan, apa yang bakal terjadi sekiranya seluruh umat Islam bersikap mazmumah? Sedangkan sebahagian yang membuat onar sahaja Islam sudah dilabel teroris dan mencetuskan Islamophobia, inikan pula keseluruhan.


Baliklah kepada fitrah asal, ‘re-set’ minda dan hati kita untuk selalu bersikap baik, berakhlak mulia dan berbudi pekerti. Kita sudah ada contoh teladan yang terbaik, Rasulullah SAW. Ikutilah cara dan akhlak Baginda dalam menyantuni manusia. Jika tidak keseluruhan, sedikit pun sudah memadai. Apalah guna jika kita mengaku sebagai umat Islam dan mengamalkan ajarannya tetapi masih bersikap keji?


Firman Allah SWT:


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (QS Al-Ahzab: 21)


Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/bersifat-terpuji-jauhi-sifat-keji/) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments