Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia di dunia ini untuk membuat kesilapan berulang kali kerana tiada siapa pun yang sempurna kecuali Allah SWT. Dalam kita meniti kehidupan yang penuh pancaroba, amat sukar untuk kita menemui umat manusia yang mempunyai sifat pemaaf yang tinggi. Apakah umat manusia sudah hilang empati kemanusiaan?
Ada yang berkata, contohilah sifat pemaaf Rasulullah SAW, namun ada yang berkata kita cuma manusia biasa dan mana mungkin kita ini setaraf dengan Rasulullah SAW. Dalam konteks contohilah sifat pemaaf Rasulullah itu adalah memaaf dan mendoakan si pesalah tersebut. Memang bukan mudah untuk kita memaafkan individu tersebut setelah apa yang dilakukan, namun untuk menyimpan sikap dendam dan amarah yang berlebihan juga tidak dituntut dalam agama Islam.
Firman Allah SWT:
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik" (QS Ali-Imran: 133-134).
Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi Allah turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita. Bahkan, Allah juga begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Memaafkan adalah sifat orang yang kuat. Sesekali ubahlah sudut pandang kita (jika berada di tempat orang lain) kerana hakikatnya kita juga mahu dimaafkan.
Bersikaplah dengan sikap positif untuk lebih tenang dan cekal dalam menghadapi hidup. Ikhlaskan. Lakukan kerana kita tahu memaafkan adalah sifat yang mulia dan Allah suka. Siapa tahu dengan memaafkan seseorang akan membuka pintu rahmat yang lebih besar untuk kita dan orang di sekeliling kita kelak. Sesungguhnya sesuatu nikmat itu selalu datang melalui jalan yang tidak disangka-sangka.
Kemuliaan seseorang yang mempunyai sifat pemaaf dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hadisnya seperti berikut:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Tidaklah Allah menambah kepada seseorang yang suka memberi maaf kecuali kemuliaan". (HR Muslim).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak minta maaf, hendaklah memaafkannya sama ada ia berada di pihak yang benar atau yang salah. Apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)." (HR al-Hakim).
Sumber: 'Penghuni syurga bersifat pemaaf', hmetro.com.my (11 Jun 2019).
Comments
Post a Comment