MUSIBAH YANG MENIMPA SEBAGAI TANDA ALLAH SAYANG. SUBURKANLAH IMAN DENGAN KESABARAN

Tiada seorang manusia pun yang mahukan musibah melanda di dalam kehidupan mereka, begitu juga dengan kita. Tapi, atas kehendak Allah SWT, ianya berlaku juga. Allah mendatangkan musibah ke dalam hidup kita sebagai tanda sayang dan cinta kepada hambaNya. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan, maka Dia akan mengujinya.” (HR Bukhari: 5213)

Ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ia mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan harta benda, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan dan kesengsaraan yang mendatangkan perasaan tidak senang dalam jiwa. Oleh itu, sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar. Dalam Surah Al-Mulk, ayat 2, Allah SWT mengingatkan, setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya. Firman Allah SWT:

“Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Orang yang diuji dengan suatu ujian adalah salah satu tanda Allah ingin menganugerahkan kebaikan kepadanya. Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Sungguh, kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan Khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar.” (QS al-Baqarah:155)

Jadi, apabila datangnya musibah ke dalam hidup, kita haruslah sentiasa bersabar dan selalu bersangka baik terhadap Allah. Ini kerana musibah yang hadir ke dalam hidup kita itu bertujuan untuk menggugurkan dosa atau mengangkat darjat kita. Ingat, setiap ujian dan musibah yang menimpa kita ada terdapat kebaikan di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sentiasa ujian itu menimpa mukmin atau mukminah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.” (HR Ahmad dan At-Tirmidzi)

Sumber: Harian Metro “Ada hikmah di sebalik musibah menimpa diri” (6 November 2019).

Comments