Bukan mudah untuk menjadi seorang yang pemaaf dan pemurah, kerana dua sifat itu memerlukan keikhlasan hati untuk melaksanakannya. Apa akan jadi sekiranya kita melakukannya dalam keadaan yang terpaksa? Sudah tentu Allah SWT tidak akan menerima amalan kita dan malaikat Atid akan mencatatnya di catatan kiri. Apakah kita mahu hal sedemikian rupa?
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya” (Sahih Muslim: 258)
Lihat hadis di atas bagaimana Rasulullah SAW menerangkan kepada kita bahawa memiliki dua sifat ini tidak sedikit pun mengurangkan harta dan akhlak kita. Sebaliknya Allah SWT mengangkat lagi darjat kita ke tingkat yang tinggi. Ini kerana jika kita memiliki dua sifat ini dan mengamalkannya secara ikhlas, nescaya ganjaran Allah SWT itu lebih besar dan luas seluas alam semesta ini. Apa kita tidak mahu ganjaran seperti itu? Sedekahlah dalam apa jua bentuk sama ada wang ringgit, barangan atau makanan.
Begitu juga dalam hal memaafkan, individu yang pemaaf adalah individu yang tinggi kekuatan imannya. Ia kerana di dalam hatinya tidak mempunyai sifat dendam bahkan hatinya akan merasa lebih tenang. Orang yang memaafkan, Allah SWT akan menambahkan kemuliaan untuknya di sisi Allah SWT. Bermaaf-maafan akan menghilangkan rasa permusuhan dan menambah lebih ramai lagi persahabatan. Firman Allah SWT:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” (QS Al-A’raf: 199)
Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi Allah SWT turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita. Memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama kerana Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan. Tidak akan hilang maruah, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain. Justeru, maafkanlah orang dan jangan berdendam. Orang yang mulia suka memaafkan orang lain, dia bukan orang biasa-biasa.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/allah-mengangkat-darjat-orang-pemurah-dan-pemaaf/) dan Sinar Harian “Allah akan meninggikan darjat mereka yang maafkan orang lain” (24 Januari 2020)
Comments
Post a Comment