BERSANGKA BAIK SESAMA MANUSIA ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN IMAN


Sudah menjadi adat dalam masyarakat untuk sentiasa mengamalkan sikap berbudi pekerti, hormat-menghormati dan berbaik sangka. Namun, amalan itu kian terhakis hari demi hari dek kerana perilaku manusia zaman moden kala ini yang mengamalkan sikap ‘jaga tepi kain masing-masing’. Apabila berlaku satu kejadian, masing-masing mula meletakkan syak wasangka dan menuduh di antara satu sama lain.

Firman Allah SWT bermaksud: 

“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?” (Al-Hujurat: 12)

Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar. Islam sangat menganjurkan umatnya supaya bersangka baik atau husnudzon. Kelebihan sifat terpuji itu antara lain mampu melapangkan dada dan menjernihkan minda dengan terhindarnya daripada perasaan sakit hati, dengki atau memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Selain itu, berbaik sangka ini juga adalah sebahagian daripada tuntutan iman. Muslim yang sempurna imannya adalah Muslim yang tidak berburuk sangka, sentiasa berhusnudzon dan meletakkan sepenuhnya apa yang terjadi ke atas aturan Allah SWT. Ini kerana teguhnya iman seseorang itu dapat menangkis segala perkara-perkara buruk dan fitnah yang hadir ke atas diri mereka.

Sabda Rasulullah SAW:

“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).” (Mutafaqun alaihi)

Sebagai seorang Muslim yang taat akan perintah agamanya, kita hendaklah sentiasa memiliki hati yang suci-bersih, ikhlas dan tidak mudah menaruh prasangka buruk terhadap kata-kata atau perlakuan seseorang saudara Islam. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri telah melarang orang Islam memasang prasangka dan tohmah, sebab ianya (prasangka dan tohmah) adalah tipu daya hawa nafsu atau andaian buruk semata-mata. Sesungguhnya prasangka itu tidak ada bukti dan dia tidak membawa kebenaran sedikit pun. Kesan dari sifat prasangka ini akan menimbulkan keretakan dalam masyarakat dan akan mengganggu keharmonian.

Sumber: Sinar Harian “Tuntutan bersangka baik” (20 Julai 2020) dan http://ensiklopediadakwah.blogspot.com

Comments