BERTERIMA KASIH PADA MANUSIA DAN BERSYUKUR KEPADA ALLAH

Islam adalah agama yang penuh dengan nilai kasih sayang serta harga-menghargai sesama manusia. Ia mengajar umatnya agar menjaga hubungan baik sesama manusia selain hubungan dengan Allah SWT, Maha Pencipta. Bersyukur dan berterima kasih adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Ia sebagai tanda penghargaan dan rasa syukur kita terhadap Allah SWT atas kurniaan rezeki melalui saluran manusia. 

Namun kini, adab itu kian pudar sedikit demi sedikit seiring dengan peredaran zaman. Ramai golongan manusia akhir zaman bukan sahaja tidak tahu bersyukur, malah ucapan terima kasih pun berat untuk diungkapkan walaupun setelah mendapat bantuan atau rezeki. Dari Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 

“Siapa yang tidak pandai bersyukur (berterima kasih) kepada manusia, bererti ia belum bersyukur kepada Allah.” (HR Tirmizi No: 1877)

Berterima kasih di atas setiap pemberian serta pertolongan orang lain terhadap kita merupakan satu sifat terpuji. Hadis di atas secara jelasnya menyuruh kita bersyukur kepada manusia, kerana ianya tanda kita juga bersyukur kepada Allah. Orang yang tidak berterima kasih atas kebaikan orang lain terhadapnya bermakna ia tidak bersyukur kepada Allah di atas limpah nikmat yang diperolehi. 

Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya. Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka. Firman Allah SWT:

“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (QS Al-Baqarah: 152)

Ingatlah, sifat berterima kasih ini tidak akan meruntuhkan maruah seseorang sebaliknya ia membuatkan seseorang itu bertambah keimanannya kepada Allah dan mensyukuri setiap rezeki yang dikurniakanNya. Ini kerana masih terdapat lagi manusia yang sudi untuk menolong sesama insan yang dalam kesusahan. Bayangkan sekiranya umat manusia sudah hilang rasa empati di dalam diri? Nescaya tidak akan ada lagi rasa belas ihsan dan kasih sayang. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments