JANGAN MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN


“Kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak.” Ya, itulah perumpaan yang selalu kita dengar apabila ada sebilangan manusia yang gemar mencari kesalahan orang lain (tajassus) walhal salah di pihaknya tidak pula dia sedari. Perkara itu dianggap normal dalam masyarakat terutamanya kepada yang hidup berjiran dan sentiasa mencari salah dan silap di antara satu sama lain. Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita terlalu sempurna hingga orang sekeliling kelihatan salah di mata kita?

Allah SWT berfirman:

"...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang ..."(QS Al-Hujuraat: 12)

Lihat ayat di atas, bagaimana Allah SWT telah memberi amaran agar kita tidak sesekali mencari kesalahan dan keaiban orang lain kerana sifat sebegitu amatlah jijik dan berdosa pada pandangan mata Allah SWT. Mencari-cari kesalahan orang lain adalah perbuatan yang terkutuk kerana kita juga manusia yang berdosa dan mempunyai amalan catatan di sebelah kanan dan kiri. Adakah wajar untuk kita berbuat demikian? Apabila orang melakukan hal yang sama terhadap kita, sudah tentu kita akan merasa marah bukan? Jadi, atas alasan apa untuk kita melakukan perkara tersebut ke atas orang lain?

Bukankah lebih elok sekiranya melindungi aib mereka? Jika benar mereka ada melakukan kesalahan, serahkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas. Perlukah kita menyebarkan aib mereka sehingga seluruh keturunannya malu? Malah Rasulullah juga bersabda:

“Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah SAW, Allah memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut.” (HR Abu Daud) 

Oleh itu, janganlah kita terlampau bersungguh-sungguh mencari kesalahan dan keaiban orang lain yang kita sendiri tidak jelas mengenai kesahihannya. Dan jikalau ianya suatu yang benar, adalah lebih elok untuk kita menyimpannya sebagai rahsia diri kita sendiri. Sabda Rasulullah SAW juga ada menyebutkan:

“..Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim sewaktu di dunia, maka Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah akan senantiasa menolong seorang hamba selalu ia menolong saudaranya.” (HR Tirmidzi)

Sumber: Laman Web Bincang Syariah (https://bincangsyariah.com/) dan Facebook Page/ AD DEEN

Comments