MEMBALAS KEBURUKAN DENGAN KEBAIKAN MERUPAKAN AKHLAK YANG MULIA


Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah, begitulah perumpaan yang sering dikaitkan dengan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ada kalanya kita bahagia dan ada kalanya kita diberikan ujian. Salah satu bentuk ujian itu adalah perbuatan manusia terhadap diri kita. Memang tidak dapat dinafikan wujudnya perasaan dendam di dalam diri apabila dianiaya oleh manusia yang berhati kotor.

Namun, sebagai seorang Muslim yang patuh dengan ajaran agama dan suruhan Allah SWT, kita dituntut untuk bersabar dan tidak membalas perbuatan itu. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (QS Al-Baqarah:153)

Allah SWT sangat menyanyangi orang yang sabar, apatah lagi orang yang tidak membalas perbuatan buruk manusia terhadapnya. Allah SWT mengajarkan umatnya untuk sentiasa berbuat kebaikan, kerana dengan kebaikanlah dapat melembutkan perbuatan yang kasar dan melembutkan hati yang keras. Sabda Rasulullah SAW:

“Bertaqwalah kepada Allah dimana jua engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (HR. Tirmidzi)

Dalam hal ini, kita boleh mencontohi sikap Rasulullah SAW. Baginda SAW berbuat baik kepada orang kafir yang tidak henti-henti menganiaya baginda. Namun, kasih sayang dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda itu akhirnya dapat mengubah hati mereka untuk memeluk agama Islam. Seperti kisah Baginda bersama seorang pengemis buta kafir yang selalu mencela Baginda hingga akhirnya di masa kewafatan Baginda barulah pengemis itu tahu orang yang selama ini menolongnya adalah orang yang selalu dicercanya. Akhirnya, pengemis itu insaf dan memeluk agama Islam.

Lihat, indah bukan jika kita berakhlak mulia dan membalas setiap keburukan dengan kebaikan? Orang yang sentiasa menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang yang berbuat buruk akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintahkan untuk menghubungkannya. Firman Allah SWT:

“Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (QS Al- Fussilat: 34)

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersabar dalam apa jua dugaan dan membalas perbuatan buruk manusia terhadap diri kita dengan kebaikan. Nescaya, ia dapat memadamkan api dendam dan secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi tali silaturahim sesama saudara atas nama agama Islam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Sinar Harian “Apabila kejahatan dibalas kebaikan..” (15 April 2019).


 

Comments