Zaman millennium hari ini, bukan sahaja mulut dan lidah yang menjadi alat komunikasi terpenting dalam kehidupan bermasyarakat. Akan tetapi, jari-jemari juga turut memainkan peranan dalam menghubungkan tali silaturahim sesama manusia. Namun, apa yang menyedihkan hari ini adanya situasi di mana sikap saling mencela dan caci-mencaci sesama manusia terutamanya umat Islam semakin berleluasa. Baik lelaki mahupun wanita, semuanya sama sahaja tidak ada yang terkecuali.
Perbuatan mencela dan mencaci-maki terhadap orang lain sebenarnya secara tidak langsung menampakkan peribadi buruk seseorang (akhlak buruk) seperti tidak sabar, pemarah, panas baran dan sebagainya. Akibatnya orang yang dicaci akan mendapat aib (kerana menjatuhkan air mukanya). Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.” (QS Al-Ahzab: 69)
Dalam Islam, tiada seorang pun yang dibenarkan mencela dan mencaci-maki umatnya yang lain. Ini disebabkan perbuatan mencela dan mencaci-maki merupakan perbuatan yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Perbuatan buruk mencaci-maki ini termasuklah menyakiti hati orang lain, mencela, mengadu domba serta senang menyebarkan gosip yang tidak tepat, mencemarkan nama baik seseorang sehingga merosak maruah martabat saudara Islamnya yang lain dan membuka rahsia peribadi yang tidak patut diketahui oleh orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesorang mukmin itu tidak mencaci maki, tidak mencela, tidak berkata dan berbuat keji” (HR al-Tirmidzi).
Sekiranya kita tidak mempunyai bait-bait kata atau perkataan yang baik yang mahu diucapkan, maka adalah lebih baik untuk kita berdiam sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim).
Ini kerana perbuatan itu jauh lebih mulia kerana dalam masa yang sama ia menjaga akhlak keperibadian kita dari terus melakukan dosa dengan menyakiti hati orang lain dengan perkataan yang kita ungkapkan atau dari segi penulisan yang ditulis di laman-laman sosial.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Comments
Post a Comment