TANGGUNGJAWAB SEORANG MUSLIM KE ATAS MUSLIM YANG LAIN


Menjadi orang yang amanah dan bertanggungjawab tidaklah mudah. Dalam dunia akhir zaman ini, di mana keimanan itu makin menipis dek cintakan dunia lebih menguasai diri daripada cintakan ALLAH dan Rasulnya, manusia memandang ringan terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.

Bahawa Abdullah bin Umar R.A mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim saudara terhadap sesama Muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (HR Bukhari: 2262)

Sesungguhnya, melakukan perkara-perkara yang baik kepada saudara seagama kita merupakan satu perbuatan yang terpuji dan disayangi Allah SWT. Menunaikan hajat, menjaga hak, melapangkan kesempitan dan menutupi aib mereka adalah satu bentuk perbuatan yang dituntut kerana jika bukan kita siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Menjadi tanggungjawab sesama umat Islam untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan kerana Islam mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam).

Oleh itu, kita semua dituntut untuk tidak melakukan kezaliman sesama Muslim dan tidak boleh membiarkan saudara seagama kita dizalimi oleh pihak lainnya. Seperkara lagi, adalah menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Barangsiapa di antara kita yang berbuat demikian, kelak Allah SWT akan memperkenankan hajatnya. 

Di samping itu, jika kita mempermudahkan urusan saudara seagama kita, maka Allah SWT akan melapangkan segala kesulitan yang kita hadapi. Begitu juga dengan hal yang berkaitan dengan aib. Apabila kita mengetahui aib seseorang Muslim, maka kita dituntut untuk menutupi dan menyembunyikannya daripada pengetahuan khalayak umum. Nescaya, Allah SWT akan menjaga dan melindungi aib kita di hari kiamat.

Dalam kehidupan ini, kita harus yakin bahawa segala amalan yang dikerjakan oleh kita di dunia ini akan mendapat imbalannya di akhirat sana. Jika baik amalan kita, maka ganjaran pahala dan syurga Allah SWT akan menanti. Jika tidak, kita akan mendapatkan azab yang setimpal. Jadilah Muslim yang bertanggungjawab dengan menjaga, memelihara dan menunaikan tanggungjawab kita ke atas Muslim yang lain. Muslim yang unggul adalah Muslim yang sanggup menjaga hak Muslim yang lainnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR Ibn Hibban).

Sumber: SInar Harian “Tunaikan tanggungjawab sebaiknya” (28 November 2019)


 

Comments