Bulan Ramadhan 1442 Hijrah kali ini amat bermakna buat kehidupan rakyat Malaysia. Manakan tidak, pada sambutan Ramadhan tahun lepas tidak seindah seperti lazimnya apabila Kerajaan Malaysia menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan segala aktiviti yang berkaitan seperti solat terawih di masjid, bazaar, majlis iftar dan sebagainya dibatalkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ramai yang sedih kerana situasi tidak semeriah seperti sebelumnya, ada yang menangis kerana tidak dapat bertadarus, beriktikaf dan berqiamullail di masjid dalam 10 terakhir Ramadhan bagi memperolehi berkat pahala yang berlipat ganda. Akan tetapi, pada tahun ini keceriaan itu dikembalikan semula walaupun pelaksanaannya ketat dan mengikut Pelaksanaan Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Umat Islam di negara ini dilihat kembali ‘bernyawa’ dengan kebenaran tersebut dan sambutan yang diberikan cukup meriah.
Walau bagaimanapun, dengan segala kebenaran yang diberikan oleh kerajaan, kita janganlah sesekali mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Dek kerana keseronokan yang tak terhingga mahu menyambut Ramadhan dalam norma baharu, ibadah wajib kepada yang Maha Esa diabaikan. Gunakanlah peluang keemasan di bulan ramadhan ini untuk terus khusyuk beribadah kepada Allah SWT dan saling berbuat kebaikan. Perbanyakkan amalan di bulan puasa kali ini dengan melakukan segala amal kebaikan yang kita tidak dapat lakukan pada tahun lalu. Firman Allah SWT:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS al – Baqarah: 183)
Tahun lalu, kita diuji dengan terhalangnya aktiviti Ramadhan yang menjadi kebiasaan seperti solat tarawih di masjid yang memang dikejar setiap tahun. Namun, bahagia Ramadan tahun lalu berbeza apabila semua berpeluang menghabiskan masa bersama keluarga. Namun pada tahun ini, tekadkan di dalam hati kita bahawa kita mahu merebut seberapa banyak ‘emas’ Ramadhan dengan kesungguhan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian bertakwa kepada Allah, Dia akan memberikan kepadamu furqan (pembeda).” (QS An-Anfal: 29)
Apabila berpeluang kembali mengimarahkan masjid dengan solat sunat tarawih dan iftar tahun ini, biarpun dilaksanakan dengan SOP ketat, itu sudah cukup memberikan satu nikmat yang menggembirakan maka rebutlah peluang ini. Ini pengajaran buat kita, hargailah setiap apa pun nikmat yang diberikan oleh Allah SWT dengan sentiasa bersyukur dan sentiasa berikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan. Jika ramai yang menganggap Ramadhan tahun lalu sebagai bulan terbaik yang pernah dijalani, hari ini boleh menjadi penentu untuk buat lebih baik lagi.
Sumber: Kosmo “Rebut emas Ramadan” (13 April 2021) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Comments
Post a Comment