JAUHILAH TIGA SIFAT MAZMUMAH (TERCELA) UNTUK MENDAPAT REDHA ALLAH SWT DI DUNIA DAN AKHIRAT


Kehidupan manusia khususnya umat Islam sudah semestinya berpaksikan kepada petunjuk al-Quran dan As Sunnah. Namun, yang namanya manusia itu pasti tidak lari melakukan kesilapan dan dosa. Oleh itu, taubat adalah jalan penyelesaiannya. Akan tetapi, sebagai umat Islam sudah semestinya kita telah diajar untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan segala keburukan. Sabda Rasullah SAW:

Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka menyembunyikan amal solehnya.” (HR Muslim)

Sebagai mukmin, menjadi kewajipan untuk kita memiliki akhlak dan adab terpuji. Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kita perlu memiliki akhlak dalam mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Di dalam banyak sifat-sifat mazmumah yang perlu kita ketahui, ada tiga larangan sifat yang perlu kita berjaga-jaga. Ini kerana ketiga-tiga sifat ini seakan-akan sudah menjadi amalan kepada umat Islam di zaman kini.

Pertama, suka mencela. Banyak sekali terjadi pada hari ini tidak kira sama ada di dunia realiti mahupun dunia maya. Inilah yang terjadi apabila manusia meletakkan dunia tanpa sempadan hingga melangkaui sempadan dengan Allah SWT. FirmanNya:

“…Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS al Hujurat: 11)

Kedua, suka menabur cerita atau memfitnah. Inilah sifat yang paling berbahaya dan sering sahaja terjadi di kalangan masyarakat kita. Apa lagi dengan wujudnya pelbagai platform sosial media, semakin ramai umat manusia yang cuba mahu menjadi yang pertama dalam mendapatkan berita sensasi tanpa menyelidiki kesahihan berita tersebut. Tahukah kita, barangsiapa yang suka menabur cerita atau memfitnah, Allah SWT mengharamkan syurga baginya? Mahukah kita menjadi penghuni neraka selama-lamanya? Sabda Rasulullah SAW:

Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Yang terakhir adalah sikap mudah percaya berita daripada orang yang fasik. Sifat ini yang sangat ditakuti. Oleh sebab itu Rasulullah SAW berpesan supaya menyelidiki dahulu kesahihan sesuatu berita yang disampaikan (tabayyun). Dikhuatiri mampu merosakkan imej dan maruah seseorang. Jika kita tidak tahu kesahihan berita tersebut, adalah lebih elok untuk kita bertanyakan sendiri kepada tuan empunya badan dan mendapatkan penjelasan. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini..” (QS al – Hujurat: 6)

Mulai dari detik ini, marilah kita bermuhasabah diri dan menjauhkan diri kita daripada ketiga-tiga sifat terbabit dan juga sifat-sifat mazmumah yang lain. Janganlah kita tergolong dalam golongan umat yang rugi di akhirat hanya kerana diri kita terjebak dengan dosa-dosa yang remeh ini. Adalah lebih baik untuk kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan berusaha menjadi hambaNya yang soleh.   

Sumber: Laman Web Republika.co.id

Comments