REBUTLAH KEBERKATAN RAMADHAN DAN JANGAN SIA-SIAKANNYA DENGAN PERBUATAN YANG TIDAK DIREDHAI ALLAH SWT


Memasuki 14 Ramadhan 1442 Hijrah pada hari ini telah memberikan kita banyak pengajaran bagaimana untuk menghargai hidup dan juga masa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengisi masa yang lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah. Akan tetapi, ada juga sebahagian daripada kita yang masih lagi tidak mengambil peluang yang ada dan masih tetap melakukan perbuatan yang sia-sia sepanjang bulan puasa. Salah satu contoh yang paling ketara, melalui kata-kata yang kotor dan tidak senonoh. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini.” (HR Bukhari)

Ya, melalui kata-katalah membuatkan puasa seseorang itu bertambah ‘kurus’. Sudahlah ‘kurus’, tidak meminta ampun dan bertaubat, maka puasanya akan menjadi sia-sia kerana hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi Allah SWT tidak mengurniakannya sebarang pahala. Bukankah itu sesuatu yang merugikan? Selain lidah dalam berkata-kata, seperkara lagi yang membuatkan puasa kita itu menjadi sia-sia adalah dengan tangan dan juga hati. Di dalam dunia serba canggih ini, pelbagai platform media sosial telah terbentuk dan membuatkan ramai umat manusia bebas menulis apa sahaja yang mereka mahukan. Akan tetapi, lebih banyak mudarat dari baiknya.

Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar. Ramadhan adalah bulan pendidikan atau ‘Syahru at-Tarbiyah’ iaitu bulan yang mendidik kita dalam pelbagai perkara. Ramadhan sepatutnya mendidik kita belajar bersabar dan tidak mudah marah apabila berdepan sesuatu permasalahan. Ramadhan adalah bulan yang mendidik kita supaya bijak mengurus kos sara hidup agar tidak berlaku pembaziran di samping mengajar kita menjaga mulut, hati dan tangan dari bergelumang dengan dosa. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu." (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, adalah wajar bagi kita sebagai umat Islam untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia sepanjang bulan puasa ini. Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun, kita tidak tahu akan nasib kita di tahun-tahun yang berikutnya. Apakah kita diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadhan yang berikutnya atau kita akan pergi menghadap sang khaliq? Gunakanlah peluang yang ada untuk meraih pahala Ramadhan dengan bersungguh-sungguh melalui kata-kata dan perbuatan yang berfaedah. Usah bazirkan amalan puasa di bulan ramadhan dengan perbuatan yang sia-sia.

Sumber: Harian Metro “Usah berpuasa sia-sia” (7 Mei 2019)

Comments