TUNAIKAN HAK DAN TANGGUNGJAWAB SESAMA MUSLIM


Muslim dan Muslim yang lain itu adalah bersaudara, bahu bertemu bahu. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan turut terasa. Maka dengan itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk sentiasa menjaga dan melindungi di antara satu sama lain. Di zaman sekarang yang serba serbi penuh dengan cabaran, ditambah lagi dengan wujudnya sentimen Islamophobia, maka umat Islam wajib membantu dan melindungi ‘saudara-saudara’ kita dari belenggu kesusahan dan penganiayaan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Orang mukmin itu akrab dan bersatu. Tidak ada kebaikan pada orang yang tidak bersatu dan tidak akrab." (HR Ahmad, At-Thabrani dan Al – Hakim)

Jadi, sebagai umat Islam yang tahu akan tanggungjawabnya sesama Muslim, maka kita harus mengambil langkah yang drastik dalam menunaikan tanggungjawab ini dengan sempurna. Bagaimana? Dengan melakukan enam perkara utama dalam menyempurnakan hak sebagai seorang Muslim. Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Hak seorang Muslim kepada Muslim lainnya ada enam." Dikatakan, "Apa saja wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Apabila berjumpa dengannya, maka ucapkan salam, apabila ia mengundangmu, maka penuhilah undangannya, apabila ia meminta nasihatmu, maka nasihatilah, apabila ia bersin lalu ia memuji Allah, maka doakanlah, apabila ia sakit, maka jenguklah, dan apabila ia meninggal dunia, maka ikutlah ke pemakamannya." (HR. Muslim)

Menjaga dan melindungi sesama Muslim ini merupakan sebahagian daripada tuntutan fardhu, maka ia wajib dilaksanakan. Apabila kita terlihat seorang Muslim dianiaya, maka kita wajib membantunya walau dalam keadaan apa sekalipun. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah SWT akan memperkenankan hajatnya. Begitu juga Muslim yang melapangkan kesempitan dan menutup aib dan keburukan Muslim yang lain, maka Allah SWT akan mempermudahkan dan melapangkan kehidupannya serta menutup aibnya di hari kiamat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi seseorang yang mempunyai sifat kebertanggungjawaban ke atas Muslim lainnya. Dengan cara itu, barulah umat Islam lebih bersatu dan utuh dalam segala hal.

Sumber: Sinar Harian “Apakah peranan kita sesama muslim?” (27 Mei 2019) dan Laman Web Akurat.co “6 Hak sesama muslim berdasarkan hadis Nabi” (5 Mac 2020)

Comments