AJARAN SESAT TIDAK BERPANDUKAN AL-QURAN DAN SUNNAH MALAH AMALAN RITUALNYA MEMPERSENDAKAN HUKUM-HAKAM ISLAM


Aktiviti ajaran sesat secara asasnya berdasarkan kepada nafsu dan semangat amalan semata-mata. Mereka tidak menjadikan ilmu sebagai wacana teras dalam ajaran mereka. Situasi ini menjadikan kepercayaan atau tindakan mereka tidak berpaksikan kepada sumber ilmu yang jelas.

Malah, ia dilihat sebagai keputusan akal yang bebas dari individu atau kumpulan tertentu sahaja. Hasilnya, segala ketentuan hukum seperti wajib, sunat, harus, haram dan makruh diabaikan. Malah batasan hukum dilanggar dan dipermainkan dengan sewenang-wenangnya. 

Contohnya, ajaran Tok Garang dari Kuala Terengganu mendakwa gurunya seorang Wali. Para pengikutnya terdiri dari kelompok yang istimewa dan tidak perlu lagi mendirikan solat. Malah kelompok mereka hanya perlu beratib beramai-ramai di atas rakit dengan menyusuri sungai sahaja. 

Sedangkan ketentuan mendirikan solat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya. Dan tiada sesiapapun yang boleh menafikan kewajipannya. Sebarang penafian rukun agama menyebabkan seseorang itu dihukum kafir dan murtad dari Islam. 

Kesimpulannya, ternyata ajaran ini dan selainnya menjadikan hukum-hakam agama sebagai mainan dalam ajaran mereka. Berbeza dengan tradisi Ahli Sunnah Wal Jama‘ah yang menjadikan syari‘at itu sebagai jalan kehidupan untuk menuju Allah.

Sumber: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Comments