BERSABAR MENAHAN AMARAH ADALAH AKHLAK TERPUJI YANG AKAN DIBERI GANJARAN PAHALA YANG BESAR DI AKHIRAT KELAK
Heboh diperkatakan tentang pendaftaran vaksinasi yang mengalami ‘kesesakan’ hingga memicu amarah kebanyakan rakyat Malaysia. Sistem tempahan yang dibuka pada pukul 12.15 tengah hari semalam mengalami ‘kesesakan’ kerana ia dibuka untuk warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Ramai yang menyalahkan kerajaan dan tidak kurang juga ada yang meluahkan dengan cara yang biadap di media sosial.
Benar, ini adalah kesilapan teknikal yang harus kerajaan perbaiki. Akan tetapi bagaimana dengan diri kita? Tidakkah kita rasa ada kekurangan dalam diri kita iaitu sifat sabar? Memang dalam keadaan yang gawat ini semua orang berlumba-lumba untuk mendapatkan apa yang terbaik untuk diri mereka, apalagi serangan Covid-19 dari pelbagai varian tidak terkawal. Tetapi dengan melemparkan amarah, membuat provokasi, menghina dan mencaci pihak kerajaan, apakah ia akan menyelesaikan masalah? Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah memuji seorang sahabat Baginda yang bernama Al Asyaj Abdul Qays. Sabda Baginda:
“Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai Allah iaitu kesabaran serta lemah-lembut.”
Apabila diteliti, rata-rata rakyat yang melemparkan amarah mereka di dalam media sosial berkenaan isu ini adalah yang beragama Islam. Adakah ini yang diajarkan oleh agama dan Rasulullah SAW? Apabila berhadapan dengan ujian lalu dibalas dengan amarah dan kata-kata nista? Ketahuilah bahawa Islam mengajar umatnya supaya menahan marah. Orang yang berjaya menahan marah ketika marahnya memuncak-muncak adalah tanda seorang yang sabar dan 'hilm' (bermurah hati) yang mendapat kecintaan Allah SWT seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"(Yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun sempit, serta orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan (QS Ali Imran: 134).
Sementara itu, orang yang sabar menahan amarah, Allah menjanjikan pahala yang besar di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa saja yang menahan amarah, padahal dia mampu melampiaskannya maka Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di atas kepala makhluk hingga dipilih baginya bidadari yang dia suka (HR Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Sesungguhnya manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan, begitu juga dengan barisan kepimpinan negara. Tetapi dengan meluahkan amarah dan kata-kata yang tidak elok, ia menggambarkan bahawa umat Islam ini tidak redha dengan setiap ujian dan dugaan yang diturunkan oleh Allah SWT.
Jangan begitu, baru sekecil ujian Allah SWT turunkan kepada kita, kita sudah mengeluh. Cuba lihat saudara-saudara seagama kita yang berada di negara bergolak. Jangan kata mengimpikan vaksin, mendapatkan sekeping roti pun amat payah. Tetapi mereka tetap bersyukur dan tersenyum. Disebabkan itu mereka tidak merasa kepayahan dan mampu hidup dalam keadaan darurat kerana percaya Allah SWT selalu bersama-sama mereka. Tidakkah kita merasa malu? Kita mempunyai segala-galanya tetapi apabila Allah memberikan sedikit ujian, kita mengeluh dan putus asa seolah-olah tiada lagi untuk hari esok. Dari itu, bersabarlah kerana setiap kesabaran kita itu akan mendapat keuntungan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
"...Hanya orang-orang yang bersabar yang disempurnakan pahalanya tanpa batas." (QS Al –Zumar: 10)
Sumber: Sinar Harian (7 Februari 2020).
Comments
Post a Comment