BERSEDERHANALAH DALAM MENYAMBUT AIDILFITRI DEMI MENDAPAT KEBERKATAN DAN MENJAUHI KEMURKAAN ALLAH SWT


Ramadhan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, sudah pasti ada di antara kita sedang sibuk mempersiapkan diri untuk menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa, iaitu bulan Syawal. Namun, tahun ini seperti yang dijangka, tiada kemeriahannya apabila arahan Pergerakan Rentas Negeri (PKP) dilaksanakan sehingga 6 Jun 2021. Akan tetapi, raya di mana-mana pun sama sahaja cuma dengan suasana yang berbeza. 

Dalam keseronokan kita meraikan Syawal yang bakal menjelang, satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati ialah menyambutnya dengan cara mendidik diri untuk bersederhana. Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah usaha kita dalam menjalani ibadah puasa ini benar-benar mampu mendidik dan membawa perubahan dalam diri untuk bersederhana terutamanya dalam berbelanja? Adakah kita sudah kenal pasti perkara-perkara yang menjadi keperluan dalam bajet hari raya nanti? Firman Allah SWT:

“Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (QS al – Isra’: 26 -27)

Sebenarnya kita menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan untuk meraikan kemenangan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Dalam hal ini Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita lakukan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. 

Oleh itu, bersederhana dan janganlah kita terlalu mengikut ‘mood’ atau kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, berbelanja melebihi keperluan sehingga kita sanggup berhutang. Akhirnya kita dibebani hutang dan tidak mampu untuk membayarnya. Oleh itu, persiapan untuk menyambut hari yang mulia ini perlu dilakukan dengan perancangan yang betul agar kita tidak menanggung hutang piutang selepas hari raya nanti, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan dunia dalam keadaan pandemik Covid – 19. Sambutlah Aidilfitri kali ini dalam menggapai keberkatan daripada Allah SWT dan bukannya dalam kemurkaanNya.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Comments