MENCARI KEBERKATAN RAMADHAN DENGAN MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN


Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, namun ia bukanlah tanda pengakhiran kepada kita untuk berhenti melakukan kebaikan. Setiap kebaikan itu masih dihitung oleh Allah SWT, cuma yang membezakannya adalah gandaan pahala yang diterima. Sememangnya Ramadhan dan amalan sedekah tidak dapat dipisahkan, ramai yang mengambil peluang ini untuk melipat gandakan pahala mereka dengan amalan bersedekah di bulan Ramadhan kepada golongan yang memerlukan. Sabda Rasulullah SAW:

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR Bukhari dan Muslim)

Akhlak seperti ini amat dicintai oleh Allah SWT. Malah Rasulullah SAW juga merupakan seorang yang pemurah terutamanya di bulan Ramadhan. Ini terbukti berdasarkan kenyataan daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; 

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus.” (Sahih Muslim: 2308).

Sememangnya Rasulullah SAW adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti. Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa juga kepada golongan fakir miskin.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu mencontohi akhlak pemurah Rasulullah SAW pada setiap masa. Konsep “memberi” (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja di bulan Ramadhan bahkan di bulan lain juga perlu kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi serta menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Ingat, janganlah sesekali kita menjadi bakhil dengan apa yang kita perolehi, kerana apa yang kita dapat itu adalah nikmat atas kurniaan Allah SWT. Bersedekahlah, berkongsilah kerana tidak akan miskin seseorang itu apabila ia bersedekah. Orang yang membantu golongan yang memerlukan di saat pandemik COVID-19 pada bulan Ramadhan sangat mulia di sisi Allah SWT dan dilipatkan ganjaran pahalanya. Manakala orang yang bakhil dan selalu berkira tidak akan pernah tenang dengan apa yang dia ada dan hasilnya perolehannya akan selalu habis dengan cepat kerana tiada keberkatan dalam rezeki tersebut. Firman Allah SWT:

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96).

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/rasulullah-saw-amat-pemurah-di-bulan-ramadan/)

Comments