BERBUAT BAIK KEPADA JIRAN ADALAH TUNTUAN AGAMA DAN TANDA KESEMPURNAAN IMAN


Pernah atau tidak kita terfikir apa sudah jadi dengan jiran di sekeliling kita, apa agaknya khabar mereka? Terutamanya kepada golongan-golongan penduduk di ibu kota dan bandar-bandar besar. Sikap tidak ingin mengambil tahu terhad bap jiran sekeliling kini seakan sudah menjadi suatu trend di kalangan rakyat Malaysia. Ibarat “kau jaga hal kau, aku jaga hal aku” dan sama-sama membawa haluan masing-masing.  

Tahukah anda bahawa banyak sekali terjadinya jenayah atau kematian di kawasan kejiranan ini akibat sikap tidak ambil peduli oleh jiran sekeliling? Hakikatnya memang itu yang terjadi di dalam masyarakat kita. Sepatutnya, ‘penyakit’ ini wajib dikikis di kalangan para Muslim kerana di dalam Islam kita tidak diajar untuk bersikap saling tidak acuh kepada jiran tetangga. 

Berbuat baik kepada jiran tetangga dan menjadi jiran yang baik adalah tuntutan agama. Malah ia mempunyai kaitan dengan kualiti iman seseorang. Kesempurnaan iman seseorang bukan hanya bergantung kepada sejauhmana hubungannya dengan Allah SWT, bahkan ia juga bergantung kepada hubungannya dengan manusia yang lain termasuk jiran terdekat. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya" (HR Muslim:77).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda:

“Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” (HR Tirmizi: 1944).

Agama Islam sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk sentiasa hidup bersatu-padu bagi mengelakkan perselisihan atau perpecahan dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara. 

Ketahuilah, bahawa kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak boleh hidup bersendirian, kerana itulah agama kita menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan yang baik sesama manusia sama ada adik-beradik, sahabat handai atau jiran tetangga.

Sebagai seorang muslim kita dituntut antara menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan, begitulah juga dalam kehidupan berjiran. Bantuan yang dimaksudkan bukan sahaja terbatas kepada bantuan yang berbentuk kewangan dan material sahaja bahkan termasuklah juga bantuan tenaga, kerjasama dan buah fikiran serta keselamatan. Amalan sebegini dapat memupuk sikap berkasih-sayang dan hormat-menghormati sesama jiran tetangga.

Ketahuilah, untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga itu bukanlah satu perkara yang sukar kerana apa yang penting kita hendaklah sentiasa mengamalkan budi pekerti yang mulia dan sentiasa berbaik sangka dalam semua hal atau keadaan, jika semua ini dapat dilakukan, maka kita sudah mencapai nikmat kehidupan yang harmoni, aman damai, bahagia dan bersatu-padu.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments