JANGAN SIBUK MENCARI KESALAHAN ORANG LAIN DAN MEMBURUK-BURUKKANNYA TETAPI SENTIASALAH MENILAI KELEMAHAN DIRI DAN BERUSAHA MEMBAIKINYA


“Jaga tepi kain orang, tapi kain sendiri yang koyak rabak”. Mungkin itu kata-kata yang sesuai digambarkan kepada segelintir manusia zaman kini. Apatah lagi dengan kehadiran platform media sosial dan teknologi canggih serta kuasa viral, ia memudahkan lagi manusia mencari kesalahan manusia lainnya lalu disebarkan untuk tatapan umum. Apakah kita tidak takut dosa memfitnah? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebagian yang lain.” (QS Al – Hujurat: 12).

Umat Islam pada hari ini seharusnya berperilaku seperti orang yang bertamadun dan terdidik. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kepada semua hambaNya agar sentiasa menjauhi segala prasangka kerana perbuatan itu satu dosa yang sangat besar? Bermula dari prasangka, lalu membawa kepada fitnah dan berakhir dengan permusuhan. Adakah kita suka apabila semua umat Islam itu berpecah-belah dan hidup saling berpuak seperti sekarang? Umat Islam itu satu kelompok yang kuat, tidak gentar walaupun dicabar tetapi tetap menghadapi cubaan dengan tenang. Jadi, mengapa kita harus kalah dengan jarum halus musuh-musuh Islam yang mahu kita hidup berantakan dan saling menikam diri sendiri? 

Inilah masa yang sesuai untuk kita bersatu dan bangkit melawan segala fitnah yang dibawa musuh-musuh agama oleh kita. Berhenti mencari kesalahan dan keburukan orang lain sebaliknya perbaiki kelemahan yang ada pada diri kita sendiri. Muslim yang sentiasa mahu menjadi baik akan selalu memperbaiki dirinya dan menambah pengetahuan dengan ilmu agama untuk meningkatkan identiti supaya lebih menyerlah imej sebagai Muslim yang bermanfaat dunia serta akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

"Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan yang banyak." (HR Tirmizi).

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengubah persepsi dan sifat kita. Berhenti mencari kesalahan orang lain sebaliknya perbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri. Selidikilah kebenaran sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum mempercayainya kerana di zaman fitnah dunia ini banyak terjadi salah sangka hingga mendatangkan keaiban dan berakhir dengan tragedi yang sadis.

Sumber: Berita Harian (13 Disember 2014)

Comments