Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita sebagai manusia dan hamba kepada Allah SWT, tidak akan lari daripada membuat kesilapan dan dosa. Namun, Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Allah SWT akan menerima setiap taubat hambaNya apabila seseorang itu menyesali dan bertaubat dari dosa-dosa yang dilakukan. Dengan menyesali atas segala dosa dan perbuatan keji itu, maka Allah SWT tidak akan mencabut perasaan kasih dan sayang di dalam dirinya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (HR Tirmidzi)
Rasa sayang boleh tercetus dari kebaikan hati, kebajikan yang dijaga, rasa prihatin dan seumpamanya. Namun ada masa kita rasakan rasa kasih sayang itu hilang, sama ada dari orang lain kepada kita atau daripada diri kita sendiri untuk orang lain. Perbuatan keji di sini merangkumi banyak perkara seperti menghina, mengumpat, mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling. Apabila kita melakukan hal tersebut, tanpa disedari Allah SWT telah menghilangkan rasa kasih sayang dari diri kita.
Salman al-Farisi menyatakan:
“Jika sifat kasih sayang dicabut bermakna sebahagian dari imannya juga akan dicabut maka jika sudah demikian maka dia tidak akan menemui Allah melainkan dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat.”
Jika diteliti hidup kita, terlalu banyak perkara yang berkait antara satu sama lain. Segalanya ada 'cause and effect', sebab dan akibat. Seperti salji yang digumpal dan digolekkan dari tempat yang tinggi, lama kelamaan saiznya akan menjadi semakin besar. Begitu juga kebaikan, kebaikan yang kecil jika dibiasakan akan menjadi besar, manfaatnya pula tersebar. Keburukan jika dilakukan sedikit demi sedikit, akhirnya akan menjadi tabiat yang sukar dibuang. Semoga Allah menjauhkan kita daripada segala sifat tercela dan tidak disukaiNya.
Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)
Comments
Post a Comment