JAUHILAH SIFAT BURUK SANGKA SESAMA MUSLIM KERANA IA ADALAH SIFAT MAZMUMAH (TERCELA) YANG DIBENCI ALLAH SWT


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: 

“Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari: 5604).

Dunia hari ini dilihat sangat menyedihkan apabila hampir kesemua umat manusia harus berprasangka buruk dan mencari keaiban orang lain dahulu sebelum menyelidiki perkara yang sebenar. Ini ditambah lagi dengan kepesatan teknologi di hujung jari dan lambakan platform media sosial menjadikan sesuatu fitnah itu tersear dengan luasnya tanpa belum diselidiki. ‘Penyakit’ ini wajib dibasmi dari hati manusia khususnya umat Islam agar tidak terus menanggung dosa. Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (QS Al – Hujurat: 12).

Oleh itu, sebagai seorang umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, adalah dilarang sama sekali menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat mengikut kemampuan. Ulama, Ibnu Sirin pernah berkata:

“Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

Sumber: Berita Harian (13 Jun 2017)

Comments