MEMPERMAINKAN KALIMAH SYAHADAH BOLEH MENJADI MURTAD ("AKU BERSAKSI TIADA TUHAN SELAIN DORAEMON")APAKAH KERANA KEJAHILAN ATAU AGENDA AJARAN SESAT????


Perbuatan mengolok-olokkan, bergurau senda, menjadi bahan gelak ketawa atau mempermain-mainkan hukum untuk menghina syariat agama, menghina Allah mahupun sunnah-sunnah Nabi semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan dengan niat untuk mempengaruhi masyarakat adalah suatu perbuatan yang biadab serta boleh jatuh hukum murtad.

Sebagai contoh, dalam satu laman Facebook ‘Membongkar Ajaran Padang Pasir’ ada memuatnaik satu posting seperti berikut: 
“Kami diminta bersaksi terhadap sesuatu yang kami tidak tahu”. “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Doraemon, dan Nobita adalah utusan Doraemon” dan “Setelah perjalanan berliku, kami akhirnya sadar bahawa sejak awal kami sudah diajari untuk tidak jujur pada diri sendiri”. 

Cuma tidak dapat dipastikan posting tersebut sama ada dari individu atau kumpulan tertentu ajaran sesat, liberal atau ateis. Ini hanyalah sebahagian contoh penghinaan kepada agama Islam kerana mempermainkan kalimah syahadah, walaupun secara bergurau atau memang ada tujuan yang tersembunyi.

Penyataan-penyataan tersebut secara jelasnya telah menghina Allah SWT dan Rasulullah SAW, pada masa yang sama cuba mempengaruhi minda masyarakat secara halus bahawa agama Islam adalah agama yang menipu kerana tidak dapat membuktikan kewujudan Allah malah menyeru kepada umatnya untuk menyembah sesuatu yang tidak wujud.

Al-Quran menyebut perihal manusia biadab ini melalui firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 70 yang bermaksud: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji)…”

Para ulama juga telah bersepakat menghukum orang Islam yang menghina Allah SWT, Rasulullah SAW dan al-Quran menjadi kafir disebabkan perbuatannya itu termasuklah jika dilakukan dalam keadaan bergurau dengan sengaja dan dosa besar disebabkan kejahilan.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW bersabda “Mencari ilmu itu wajib bagi setiap Muslim”. Ilmu yang dimaksudkan itu adalah mempelajari ilmu mengenai agama yang didalamnya ada pelajaran hukum hakam, ada ilmu tauhid, ada ilmu feqah, ada ilmu adab dan sebagainya. Seharusnya sebagai umat Islam adalah perlu bagi kita merujuk kepada sumber yang sahih serta alim ulama yang pakar dalam bidangnya sekiranya terdapat sebarang kekeliruan. Pentafsiran ilmu secara sendiri membolehkan seseorang itu terjerumus terhadap perkara yang lebih mengelirukan dan lebih bahaya lagi dikhuatiri terjatuh dalam kancah kufur atau murtad.

Sumber: Prosiding Seminar Pemantapan Akidah 2015, UTM Skudai dan editormalaysia.com

Comments