MENGUKUHKAN UKHWAH SESAMA INSAN SEMASA PANDEMIK COVID-19 MELALUI SIKAP SALING MEMBANTU DAN MELINDUNGI ADALAH AKHLAK YANG TERPUJI
Ketika seluruh rakyat Malaysia dilanda keresahan akibat total 'lockdown' selama 14 hari kerana khuatir tentang keberlangsungan hidup mereka, masih ada lagi pihak-pihak prihatin yang sanggup menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Inilah ajaran yang diajar oleh agama kita, agama Islam tentang sikap tolong-menolong sesama insan semasa di dalam musibah. Tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menolong sesama manusia.
Firman Allah SWT:
“Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa..” (QS Al – Maidah: 2)
Sebagai manusia yang tidak mampu hidup tanpa yang lain, konsep tolong-menolong perlu wujud dalam menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Jadi sayugianya masing-masing harus mengenepikan ego diri, menyahkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan dan masalahah umum yang lebih besar demi membina kesatuan ummah dalam menjamin kelangsungan dan peranan mereka dalam masyarakat.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan sikap tolong-menolong tanpa mengira siapapun pihak yang terlibat. Tolong-menolong adalah sikap yang amat disukai oleh Allah SWT dan telahpun dijanjikan ganjaran pahala dan syurga pada hari akhirat. Ini kerana dengan tolong-menolong, kita bukan sahaja telah meringankan beban seseorang, tetapi kita telah mencipta satu ukhwah yang padu di kalangan manusia. Sudah menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia yang memberikan pertolongan sesama insan, pasti akan disenangi oleh semua orang dan mereka mencipta persahabatan untuk menolong pihak lain yang di dalam kesusahan.
Indah bukan sikap ini? Jadi amalkanlah sikap ini agar kita semua dapat mengukuhkan ukhwah sesama insan dan khususnya dapat mengukuhkan ukhwah sesama Islam demi sebuah perpaduan yang kukuh dalam misi melawan pandemik Covid-19. Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia lainnya. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR Thabrani)
Sumber: Harian Metro (2 Disember 2019).
Comments
Post a Comment