PELAKSANAAN 'LOCKDOWN' COVID-19JADIKANLAH KISAH NABI AYYUB A.S SEBAGAI PENGAJARAN UNTUK TETAP BERSABAR, BERDOA, TIDAK PUTUS ASA DAN SENTIASA BERTAWAKAL KEPADA ALLAH SWT
Serangan pandemik Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia memberikan impak yang sangat mendalam kepada seluruh umat manusia. Ini tidak terkecuali rakyat Malaysia yang terpaksa berhadapan dengan peningkatan kes yang semakin tinggi hingga terpaksa berdepan dengan cabaran ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup dan kehilangan mata pencarian.
Ada pula yang tidak berhenti menuding jari ke arah pemimpin dengan pelaksanaan PKP tanpa henti dan beranggapan ini salah satu punca kesengsaraan mereka dalam meneruskan hidup
Oleh sebab itu, ada di kalangan mereka mula putus asa, menyalahkan takdir dan lebih menyayat hati ada sebahagiannya mengambil jalan singkat dengan mengakhiri hidup mereka sendiri, nauzubillahiminzalik! Sepatutnya di kala ini kita perlu memperbanyakkan sabar, doa dan tawakal kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir." (QS Yusuf: 87)
Ambillah pengajaran dari kisah Nabi Ayyub A.S, semasa Baginda diserang penyakit kusta. Bukan saja diserang penyakit, Baginda juga diuji dengan pemulauan dari masyarakat, keluarga dan harta Baginda juga semakin menyusut.
Baginda mengasingkan diri daripada masyarakat hingga bertahun lamanya. Sepanjang tempoh itu, Nabi Ayyub A.S tidak pernah putus asa dan setiasa bertawakal serta berserah diri kepada Allah SWT. Akhirnya, atas kesabaran serta ketekunannya dalam bertawakal, Allah SWT mengabulkan segala doa Nabi Ayyub A.S.
Memang benar kita tidak akan mampu menjadi setabah Nabi Ayyub A.S, tetapi apa yang mahu diterangkan di sini adalah tentang sikap kita sebagai umat Islam. Sepatutnya kita wajib percaya yang ini semua adalah ujian dari Allah SWT kepada hambaNya tanda kasih dan sayang Allah SWT kepada kita. Jadi, kita sebagai umat Islam tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah SWT kerana setiap ujian itu pasti ada rahmatnya yang kita akan perolehi di kemudian hari.
Sabda Rasulullah SAW:
"Seandainya kamu semua bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapat rezeki. Burung tersebut pergi dalam keadaan lapar pada pagi hari dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang." ( HR Ahmad)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment