Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme Barat yang diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang mereka dakwa diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama. Hal ini dilakukan melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya berdasarkan logik akal, memperjuangkan hak asasi manusia serta mempertahankan hak kebebasan individu mengikut pandangan Barat.
Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman. Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama sejak zaman-berzaman (ijma’) juga cuba dirungkai, atas nama ijtihad.Sedangkan Islam meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk berijtihad dan hanya mereka berkelayakan yang layak untuk melakukannya.
Sebagai contoh dalam isu cubaan golongan Islam Liberal untuk menghalalkan LGBT atas nama ijtihad baru. Beberapa penulis di laman web Islam liberal Indonesia, Khoirul Anwar dan Khoirul Anam secara terang menyebut bahawa tiada satupun ayat dalam al-Quran yang secara eksplisit (terang dan nyata) yang menolak LGBT, mahupun yang menerimanya. Maka, menurut penulis tersebut, setiap orang bebas mengemukakan tafsiran masing-masing.
Hal ini pastinya bercanggah dengan firman Allah swt yang secara jelas menempelak umat Nabi Luth a.s yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki sepertimana dalam Surah al-Syuara’ ayat 165 dan 166 bermaksud: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.
Perkara ini memperlihatkan dengan jelas bahawa ijtihad telah dijadikan alasan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat baru yang kelihatannya amat jauh daripada kefahaman ulama muktabar. Golongan Islam liberal berusaha untuk mengubah tafsiran Islam agar selaras dengan keadaan keperluan duniawi manusia hari ini. Perbuatan memahami teks wahyu dalam kerangka duniawi, adalah bersalahan dengan sikap Muslim yang sepatutnya terhadap wahyu. Muslim sepatutnya menurut panduan wahyu sepenuhnya, bukan berusaha mengubah fahaman wahyu agar selaras dengan perspektif manusiawi dan duniawi.
Kecenderungan ke arah pentafsiran semula ayat-ayat al-Quran berkenaan isu LGBT ini juga kesan daripada perubahan sikap tamadun Barat terhadap kelompok ini. Jika masyarakat Barat pada hari ini tidak mengangkat dan memperjuangkan hak LGBT, nescaya golongan Islam liberal tidak akan membangkitkan isu ini.
Sumber: Al-Bayan, Siri 12, Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Comments
Post a Comment