JADIKAN MUSIBAH COVID-19 SEBAGAI PENGAJARAN. ALLAH TIDAK MENIMPA SESUATU MUSIBAH KECUALI SEBAGAI PERINGATAN DAN UNTUK MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA YANG LALU
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda:
"Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari).
Pernah atau tidak kita terfikir bahawa setiap daripada musibah yang menimpa diri kita itu adalah penghapus kepada dosa-dosa silam yang telah kita lakukan? Namun, tidak semua daripada kita sedar akan hal tersebut sebaliknya ramai yang mengeluh tatkala diri ditimpa musibah. Contoh yang paling ketara di kala ini adalah ujian Allah SWT yang datang dalam bentuk pandemik Covid-19. Di masa ini, semua kehidupan manusia mula terjejas. Hilang mata pencarian, terputus bekalan makanan dan jatuh sakit. Pada masa inilah kita menyalahkan semua pihak kerana tidak mampu membantu kita dan membiarkan kita hidup dalam keadaan melarat.
Akan tetapi, andainya kita tahu hikmah di sebalik musibah itu, pasti kita akan bersabar apabila menerima ujian berkenaan. Siapa pun yang berada dalam situasi ini, memang tidak dapat dielakkan jika berperasaan sedemikian. Lumrah manusia sememangnya begitu. Ketahuilah, setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah SWT.
Ketika dilanda musibah, maka bersabar dan berdoalah kepada Allah SWT tanpa henti supaya diangkat penyakit ini dan umat manusia kembali dengan hidup yang normal. Firman Allah SWT:
“Maka bersabarlah menerima hukum Tuhanmu dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang sudah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika dia berdoa merayu dengan keadaan sesak terkurung dalam perut ikan.” (QS al – Qalam: 48)
Apa yang penting, sebagai umat Islam kita perlu kembali kepada al – Quran dan As – Sunnah untuk dijadikan panduan. Al-Quran mengajarkan kepada orang beriman supaya terus bersabar ketika ditimpa kesusahan dan musibah. Sikap terbaik yang perlu dilakukan adalah ‘istirjaa’ iaitu mengembalikan semua urusan kepada Allah SWT dengan mengucapkan ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini. Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.
Sumber: Harian Metro (12 Jun 2018)
Comments
Post a Comment