RASIONALISASI FAHAMAN LIBERAL YANG TIDAK RASIONAL!!!FAHAMAN YANG DIBINA ATAS LOGIK AKAL DAN MENINGGALKAN SYARIAT ALLAH SWT
Rasionalisasi atau mendewakan akal yang menjadi kepentingan utama bagi mereka yang berfahaman liberal boleh dilihat berdasarkan beberapa perkara berikut:
(a) Kebebasan adalah hak yang dibangunkan atas kepentingan kebendaan semata-mata dan ia dapat diperoleh melalui penggunaan akal semata-mata.
(b) Urusan negara dipisahkan dengan hubungan dan keyakinan agama, kerana kebebasan mereka percaya sesuatu perkara itu tidak dapat diperoleh melainkan dengan usaha melalui kekuatan fizikal dan kekuatan akal semata-mata. Mereka juga beranggapan, pihak pemerintah berkewajipan melindungi rakyat kerana pada pandangan mereka, negara terbentuk untuk menjaga hak asasi setiap individu dan negara perlu terpisah dari agama dan pemikiran mazhab sedia ada.
Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah dan RasulNya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah sebenar.
Sejarah juga memperlihatkan fahaman liberalisme ini mula masuk ke dalam fahaman dan pegangan Muslimin melalui penjajah Eropah dan juga penjajahan melalui pemikiran, disebut sebagai 'ghazwatul-fikr'. Gerakan pemikiran tokoh Barat mula menyerap dalam pemikiran orang Islam melalui pendekatan modenisasi serta menstrukturkan agama agar sesuai dengan modenisasi Barat.
Disebabkan sebahagian umat Islam terpengaruh dengan kemodenan dan kemajuan yang ditunjukkan oleh negara Barat terutamanya para ilmuan dan golongan professional, maka fenomena ini dilihat sangat bahaya jika tidak dikawal sebaiknya kerana golongan yang dikatakan mempunyai pengaruh di peringkat sosial ini mampu untuk mempengaruhi sebahagian umat Islam yang lain yang kurang ilmu pengetahuan akidahnya untuk turut sama mengamalkan fahaman liberal secara tidak sedar.
Sumber: Berita Harian, 05 OGOS 2017
Comments
Post a Comment