BERTEMANLAH DENGAN SAHABAT YANG BAIK KERANA SAHABAT YANG BAIK AKAN MEMBENTUK AKHLAK YANG BAIK DAN MENUNJUKKAN JALAN KE SYURGA
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.” (HR Abu Daud).
Sesungguhnya kehidupan manusia ini perlukan teman pergaulan agar diri tidak menjadi kera sumbang. Namun, perkara yang amat dititikberatkan di dalam agama Islam adalah memilih teman pergaulan berdasarkan akhlak mereka. Boleh dikatakan ramai di antara kita yang salah memilih teman lalu terjerumus ke lembah kemaksiatan. Akan tetapi, tidak kurang juga ada yang tepat memilih teman dan membawa mereka ke jalan yang benar.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim kita disarankan agar memilih teman itu berdasarkan akhlaknya. Jika mereka selalu mengingatkan kita tentang urusan ukhrawi berbanding urusan duniawi maka dekatkanlah diri bersama-sama golongan tersebut. Seperti sabda Rasulullah SAW:
“Perumpaan teman yang baik dan teman buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberi mu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya. Kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu. Kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.” (HR Bukhari dan Muslim).
Memilih teman itu boleh mempengaruhi akhlak kita secara keseluruhan. Ini kerana keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya). Dalam secara tidak sedar, akibat pergaulan yang terlalu lama membuatkan kita mengikut akan tindak tanduk seseorang. Oleh itu, dalam memilih teman haruslah terarah kepada beberapa perkara seperti yang taat beribadah, jujur, amanah, sering mengajak kita kea rah yang positif dan menjaga ukhwah silaturahim.
Setiap pihak perlu memainkan peranan. Selain diri sendiri, ibu bapa dan saudara-mara juga harus memainkan peranan dengan meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi dengan cara menasihati tetapi tegas. Pilihlah teman yang membawa kita ke arah syurga, seperti kata Imam Ahmad Ibn Hanbal:
“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang (menjadi sahabat kita, yang dengan sebab dia, kita) beroleh taufik, (dengan sebab kita berkawan dengan dia, kita dapat) memahami perintah Allah serta (dengan sebab dia, kita) suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat (di sisi Allah).”
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/12/akhlak-seseorang-bergantung-akhlak-temannya/)
Comments
Post a Comment