Sebagai umat Islam, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara adab dan akhlak kita sebagai seorang Muslim. Namun, ada seperkara lagi yang mungkin kita terlupa iaitu menjaga dan memelihara anggota tubuh badan kita daripada melakukan perkara - perkara yang tidak baik. Ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam buku Ar - Risalah Jami'ah: Fiqih Praktis Seputar Ibadah, Al - Imam Abdullah bin Alwi al Hadda menyatakan:
Sesuatu yang terpenting bagi seorang yang beriman adalah berwaspada terhadap hati dan anggota badannya serta merawat keduanya. Bersungguh-sungguh dalam menjaga keduanya dan mencegahnya dari hal-hal yang dimurkai dan dibenci Allah, dan menggunakan keduanya untuk perkara yang disukai dan diredhai Allah."
Allah SWT mengurniakan kita tubuh badan dan anggota yang sempurna untuk kita menggunakannya di jalan yang diredhaiNya. Bukan hanya sekadar untuk beribadah, tetapi juga digunakan untuk hal-hal kebajikan, fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Tidakkah kita merasa malu dan gentar apabila menggunakan setiap anggota tubuh badan kita untuk melakukan kerja-kerja yang jahil lagi berdosa? Allah SWT berfirman:
"Tidaklah kamu dapat berselindung daripada persaksian, pendengaran, penglihatan dan kulit-kulit badanmu terhadapmu, tetapi kerana kamu menyangka Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan secara bersembunyi itu." (QS Al - Fussilat:22).
Ingatlah akan amaran Allah SWT dalam surah di atas. Jaga dan peliharalah anggota tubuh badan kita dari sebarang maksiat yang lagha. Ini kerana setiap daripada anggota ini akan menjadi saksi terhadap amalan kita di hari akhirat nanti. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya itu akan ditanya (dipertanggungjawabkan)." (QS al-Isra': 36).
Allah SWT juga berfirman maksudnya:
"Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang mereka dahulu kerjakan." (QS an-Nur: 24).
Sumber: "Penawar Bagi Hati", (Pentahqiq: Dr. Abdul Basit bin Hj. Abdul Rahman), terbitan: PTS Publishing House
Comments
Post a Comment