JANGAN BERPRASANGKA BURUK, ASYIK MENCARI-CARI KESALAHAN (TAJASSUS), MEMFITNAH DAN MENYEBARKAN BERITA PALSU KERANA IA PERBUATAN DOSA BESAR YANG SANGAT DILARANG DALAM ISLAM
Pada ketika ini, tiada apa yang boleh kita lakukan kecuali bersabar dan redha akan ujian yang diturunkan oleh Allah SWT di kala serangan pandemik Covid-19. Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ketika ini setiap daripada golongan manusia mencari-cari ikhtiar bagi penyelesaian masalah ini. Tetapi, janganlah sampai kita bersikap mencari-cari kesalahan (tajassus) terhadap isu tersebut.
Firman Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain." (QS Al - Hujurat: 12).
Jika dilihat ke dalam ruangan media sosial, begitu banyak 'posting' berunsurkan fitnah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat mengenai situasi semasa Covid-19. Ada di antara 'posting' yang dengan sengaja memburuk-burukkan frontliners di bidang perubatan kononnya mereka sengaja membiarkan para pesakit Covid-19 hingga hujung nyawa mereka.
Tidak hanya itu, ada juga yang mengatakan vaksin yang diberikan mengandungi bahan terlarang dan tidak halal. Apa yang paling sadis, terdapat sesetengah golongan yang mengaitkan hal ini dengan sebahagian teori konspirasi. Perbuatan mereka seolah-olah mereka ini pula yang lebih arif akan isu tersebut. Mengapa tidak bertanyakan sahaja kepada pakar dan bersangka baik terhadap apa yang dinyatakan oleh mereka?
Dalam hal ini, tidak salah untuk berikhtiar, tetapi janganlah sampai memburuk-burukkan para frontliners dalam usaha mereka untuk mengubati rakyat Malaysia dan juga melandaikan lekuk wabak tersebut. Apa yang perlu dilakukan oleh kita sebagai rakyat Malaysia dan sebagai seorang Muslim adalah patuh akan arahan dan saranan yang telah diwartakan oleh Kerajaan.
Bersangka baiklah terhadap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita. Mungkin inilah masanya untuk kita bermuhasabah dan memperbetulkan diri kita. Selama ini kita mencari-cari kesilapan orang hingga tidak nampak akan kesalahan diri. Jadi, hentikanlah perbuatan tajassus terhadap semua perkara sebaliknya bersangka baik, berdoa dan yakin Allah SWT akan mengangkat bencana ini dengan segera.
Sabda Rasulullah SAW:
"Allah berfirman, Aku selalu menurut persangkaan hambaKu kepadaKu. Apabila ia berprasangka baik maka ia akan mendapatkan kebaikan. Adapun bila ia berprasangka buruk kepadaKu maka dia akan mendapat keburukan." (HR Tabrani dan Ibnu Hibban).
Sumber: Harian Metro (14 Jun 2021)
Comments
Post a Comment