JANGAN MEMPERSULITKAN URUSAN ORANG LAIN AGAR TIDAK DIPERSULITKAN URUSAN KITA OLEH ALLAH DI DUNIA DAN AKHIRAT


Hidup kita sebagai khalifah kecil di muka bumi ini adalah untuk saling menyenangkan semua pihak dan berbahagi kebahagiaan di antara satu sama lain. Ketahuilah bahawa Allah SWT memberikan balasan sesuai dengan apa yang dilakukan oleh seseorang hambaNya. Barangsiapa yang melakukan amalan yang dicintai oleh Allah SWT, maka Allah SWT akan mencintainya pula. Barangsiapa yang memudahkan urusan seorang Muslim maka Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sebaliknya barangsiapa yang melakukan amalan yang dibenci Allah SWT maka Allah SWT akan membencinya. Begitu juga barangsiapa yang menyusahkan atau memberi kemudaratan kepada Muslim yang kain maka Allah SWT juga akan menyusahkanya dan memudaratkanya sama ada di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang memberi kemudaratan kepada seorang Muslim, maka Allah akan memberi kemudaratan kepadanya. Barangsiapa yang menyusahkan seorang Muslim maka Allah akan menyusahkan dia." (HR At-Tarmizi: 1940).

Namun, realitinya tidak semuanya orang mempunyai sikap dan empati yang sama. Ada di antara mereka lebih mementingkan diri dan tanpa rasa bersalah telah memudaratkan orang lain sama ada sedar ataupun tidak. 

Contohnya seperti kejadian yang di‘viral’ kelmarin apabila ada sebuah keluarga keluar untuk makan di salah sebuah restoran tanpa lengkap dua dos vaksin seperti yang disyaratkan oleh Kerajaan. Seperti semua sedia maklum, Kerajaan telah memberi kebenaran kepada para pengusaha restoran dan kedai makan untuk menjalankan operasi ‘dine in’ dengan syarat para pengusaha, pekerja dan pelanggan wajib melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Apa yang dilakukan oleh keluarga tersebut adalah mereka dengan sengaja memasuki kedai makan tersebut yang kononnya dikatakan sebagai melakukan ‘eksperimen sosial’ dengan makan di kedai tersebut lalu dimuatnaik ke laman sosialnya. Menurut individu terbabit, beliau dengan bangga melakukan aksi tersebut kerana dakwanya pihak kedai makan terbabit tidak tegas kepada pelanggan dan tidak memeriksa para pelanggannya.

Ya, memang tindakan kedai makan itu salah tetapi mengapa diri sendiri perlu berkelakuan dangkal seperti itu? Seolah-olah tidak ada salah terhadap diri sendiri dan hanya meletakkan salah kepada orang lain. Sebagai umat Islam, apa hukumnya jika kita mendedahkan diri kita dan orang lain kepada mudarat? Berdosa besar! Sudahlah anda sekeluarga tidak divaksin, anda mendedahkan pula bahaya kepada diri anda kepada orang lain. 

Sebagai seorang Muslim, kita tidak hanya dianjurkan memerhatikan hubungan vertikalnya dengan Allah SWT, sebaliknya perlu menjaga hubungan horizontal dalam konteks hidup bermasyarakat. Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan masyarakat itu akan memberikan impak kepada pelakunya sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Bahkan Rasulullah SAW pernah berdoa supaya Allah menyusahkan seseorang yang menyusahkan umat yang lain. Rasulullah SAW berdoa:

"Ya Allah, barangsiapa yang menguruskan umatku kemudian dia menyusahkannya maka Engkau susahkanlah dia." (HR Muslim: 1828).

Ketahuilah betapa beratnya dosa menyusahkan orang lain itu, ia tidak akan hilang hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT selagi tidak meminta maaf dan meminta halal daripada mereka. Malah, orang yang melakukan kesalahan hingga menzalimi saudaranya, perlu berasa khuatir kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT. 

Maka dari itu, bertaubatlah! Janganlah kita menjadi sebahagian daripada golongan yang suka menyusahkan orang lain kerana dikhuatiri  akan mendatangkan kerugian kepada kita sama ada di dunia dan juga di akhirat.

Sumber: Berita Harian (26 Februari 2019) dan Facebook Dr Ahmad Sanusi

Comments