MEMUATNAIK BERITA ATAU VIDEO YANG MENYENTUH SENSITIVITI DAN MENGAIBKAN SESEORANG ADALAH PERBUATAN 'GHULUW' (MELAMPAUI BATAS) YANG DICELA DAN DIMURKAI ALLAH SWT


Demi mengaut jutaan ‘followers’ hingga menjadi terkenal dan diidolakan oleh semua orang, ada di kalangan ‘content creator’ ini sanggup melakukan perbuatan-perbuatan ghuluw atau lebih tepat lagi perbuatan melampaui batas hingga menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini. Perbuatan seperti ‘prank’, mengulas sesuatu isu secara berlebihan dan memburuk-burukkan hingga mendatangkan aib terhadap individu lain kini menjadi ikutan para ‘content creator’ di negara ini hingga lupa adab dan akhlak mereka terhadap manusia lainnya.

Mengambil contoh apa yang terjadi baru-baru ini di mana seorang ‘content creator’ yang bertindak memuatnaik video ketika beliau menziarahi pusara seorang penyanyi terkenal yang meninggal dunia akibat wabak pandemik Covid-19. Hal ini kerana beberapa jam sebelum video itu dimuatnaik, beliau telah membuat beberapa hantaran ‘highlights’ di laman sosialnya sebagai ‘notification’ buat ‘followers’ beliau agar tidak ketinggalan untuk menyaksikan video terbabit. Walaupun niatnya adalah untuk memberi penghormatan terakhir, tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Tahukah anda apabila video itu mendapat tontonan ramai, maka beliau akan mendapat janaan pendapatan? Firman Allah SWT:

“…dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (QS Al – Baqarah: 190).

Membuat sesuatu ‘content’ untuk menjana pendapatan sampingan tidak salah jika ia sesuatu yang berkaitan dengan kebaikan. Tetapi apa yang menjadi salahnya apabila kita membuat sebuah ‘content’ di atas penderitaan dan kesedihan orang lain. Satu perbuatan yang sangat melampaui batas dan mendapat kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai umat manusia, hindarilah ghuluw (melampaui batas) dalam agama kerana yang membinasakan (umat) sebelum kamu adalah kerana mereka ghuluw dalam agama.” (HR Ibnu Majah).
 
Hormatilah sensitiviti masyarakat yang sedang berhadapan dengan musibah daripada Allah SWT. Jangan kerana kita terlalu taksub mengejar ‘like’ dan ‘followers’, kita hilang empati terhadap manusia lain. Ambillah contoh beberapa video yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain seperti video masakan atau tutorial yang lebih ke arah keIslaman seperti asas dalam mengaji, tutorial solat dengan tepat, penjagaan kesihatan dari sudut Islam dan sebagainya yang sudah tentu memberi manfaat kepada orang lain. Siapa sangka dengan video tersebut pahala kita akan sentiasa mengalir kerana ilmu yang dicurahkan akan diguna pakai oleh masyarakat walaupun kita sudah meninggal dunia.

Sumber: Harian Metro (18 Disember 2018)

Comments